Pemain kelahiran Alor Setar itu beraksi selama lebih 30 minit untuk menang 21-19, 21-17 ke atas Jin Hong dalam aksi yang berlangsung di Arena Badminton Perak.

Pemain berusia 21 tahun itu mengakui bahawa cabaran di kejohanan itu bukan sesuatu yang mudah kerana setiap pemain mahu beraksi cemerlang terutama ketika berdepan pemain kebangsaan.

“Perlawanan dengan Jin Hong ini membuatkan saya sedar bahawa cabaran di sini bukan mudah.

“Buat masa sekarang saya tidak meletakkan sasaran untuk menjadi juara tetapi lebih kepada persediaan sebelum saya beraksi di Jerman selepas ini,” katanya.

Turut ke pusingan kedua ialah juara kebangsaan dua kali, Lim Chi Wing, Leong Jun Hao, Soong Joo Ven dan Aidil Sholeh Ali Sadikin manakala pemain bebas, Liew Daren terpaksa menarik diri kerana masalah kecederaan kaki.

Turut mencuri tumpuan gandingan beregu lelaki Chan Peng Soon-Tan Boon Heong yang berjaya ke saingan suku akhir selepas menundukkan Leong Jun Kai-Lye Jun Cheng 21-11, 21-11.

Kejayaan itu menyaksikan mereka akan berdepan cabaran pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang turut mara selepas menundukkan Chong Kien Ling-Ong Wei Khoon 21-16, 21-11.

Turut ke aksi lapan terbaik ialah Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang menang 21-16, 21-16 ke atas Justin Hoh-Muhammad Fazriq Mohamad Razif dan pasangan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin yang menewaskan Chia Wei Jie-Chua Yue Chern 21-10, 21-16.-UTUSAN ONLINE