Letshaana menjadi perhatian ramai selepas mengejutkan pilihan utama, Arena Satu Samin dari Sabah dalam aksi perseorangan perempuan bawah 16 tahun selain berjaya merangkul kejuaraan beregu perempuan bersama gandingannya Loh Zhi Wei dalam pertandingan itu.

Dilabel sebagai bintang dalam pembikinan oleh jurulatih remaja kebangsaan, Kwan Yoke Meng, Letshaana menjadikan jaguh badminton negara yang juga Duta 100PLUS, Datuk Wira Lee Chong wei dan pemain No.1 dunia dari Taiwan, Tai Tzu Ying sebagai idolanya.

“Saya mahu menjadi juara dunia. Saya ada matlamat dan berazam untuk menjadikannya kenyataan.

“Banyak yang perlu dilakukan untuk meraih kejayaan di kejohanan anjuran 100PLUS dan ia menjadi suntikan semangat untuk saya apatah lagi menang ke atas pilihan utama untuk muncul juara,” katanya.

Dalam saingan Divisyen Tiga yang berlangsung di Putrajaya hari ini, Pahang mendominasi tujuh daripada 12 kejuaraan bagi kategori lelaki dan perempuan bawah 12 tahun, 14 tahun dan 16 tahun sementara Kelantan dan Putrajaya masing-masing meraih dua kejuaraan manakala Terengganu meraih satu kejuaraan.

“Sudah tentu kami berbangga dengan pencapaian ini kerana ia atas usaha dan latihan daripada pemain dan kejurulatihan sekaligus memastikan tujuh kemenangan berjaya diraih.

“Namun, ia bukan bermakna kami sudah boleh tersenyum lebar kerana masih banyak ruang yang perlu diperbaiki sebelum pusingan kedua bermula pada Mei nanti,”kata Pengurus pasukan Pahang, Wan Suhaimi Wan Yaacob.-UTUSAN ONLINE