Ketua Unit Pertandingan Futsal & Bolasepak Pantai AFC, Brian Johnson berkata, sesuatu yang baharu sememangnya akan menempah laluan yang sukar tetapi FAM perlu mengekalkan inisiatif ini.

“Sememangnya bukan mudah untuk memulakan sesuatu yang baharu. Pastinya akan wujud isu serta cabaran namun mengambil langkah permulaan saja sudah cukup mempamerkan daya usaha yang berani di mana ia adalah langkah yang tepat dibuat FAM,” katanya. 


Sementara itu, Pengarah Pembangunan Futsal dan Bolasepak Pantai AFC, Ali Targholizade, berkata pelaksanaan MPFL penting kerana ia memberi kelayakan buat kelab dari Malaysia beraksi dalam saingan AFC. 


“Maju ke hadapan dari amatur ke profesional, diakui FAM selangkah ke depan berbanding AFC dari sudut ini.

“Di AFC, kami sememangnya berharap setiap negara menganjurkan pertandingan dan perlawanan yang cukup buat pasukan serta pemain bagi memastikan mereka sentiasa berada di tahap terbaik dan tertinggi yang juga mampu membuka laluan buat mereka di pertandingan peringkat antarabangsa. 


“Berdasarkan pemantauan saya, pastinya usaha ini akan mendapat sokongan padu penyokong memandangkan kemudahan futsal di Malaysia sangat kukuh,” ujarnya. 


Tambah Ali lagi, antara manfaat lain juga futsal mampu bergerak seiring dengan sukan bola sepak. 


“Jika dilihat pada era 70-an kebanyakan pemain bola sepak Brazil asalnya bermula dengan futsal,” jelasnya. 


FAM secara rasminya melancarkan liga futsal profesional MPFL buat julung kali dan dijadualkan berlangsung April ini dengan penyertaan 10 pasukan kategori lelaki dan lima untuk saingan wanita.


MPFL akan dilangsungkan dengan format timbal balik dengan setiap pasukan akan beraksi di gelanggang sendiri dan tempat lawan berbanding hanya berbentuk temasya pada penganjuran sebelum ini.- UTUSAN ONLINE