Apabila mereka terpaksa menyambut hari raya di atas kapal dan di tengah lautan maka mereka mula membedil meriam bagi memeriahkan keadaan dan menghilangkan kesunyian.

Menurut Pengasas Komuniti Keris Warisan, Johan Iskandar, permainan meriam di darat pula terjadi selepas zaman peperangan bertujuan mencari, memberi isyarat atau memanggil orang kampung lain.

Namun begitu, permainan meriam terutamanya yang menggunakan buluh ini bukan sahaja dimainkan di Malaysia tetapi juga di negara lain merangkumi kawasan Nusantara dan juga di negara Eropah.

Permainan ini juga sudah lama menjadi adat oleh penduduk di Pontianak, Kalimantan Barat yang rata-ratanya terdiri daripada keturunan Melayu.

Tradisi dikenali sebagai Meriam Karbit menjadi acara tahunan yang disambut pada setiap malam terakhir Ramadan.

Festival Meriam Karbit itu disambut secara besar-besaran sehingga mencecah sebanyak 250 meriam yang berukuran besar.

Meriam karbit diperbuat daripada kayu besar berdiameter sekitar 50 hingga 100 sentimeter dan panjang mencecah antara empat hingga tujuh meter dan mempunyai lubang di bahagian tengah bagi memudahkan api dinyalakan untuk menembak meriam.

Cara pengendaliannya mirip kepada meriam buluh yang biasanya dimainkan di Semenanjung Malaysia, namun apa yang membezakannya adalah saiz yang begitu besar sehingga menghasilkan kesan letupan yang kuat.

Menurut laman blog Wisata Pontianak, kewujudan Meriam Karbit di wilayah itu sebenarnya dikatakan bagi mengusir banyak hantu pontianak atau panggilan popular di Indonesia, kuntilanak.

Pemerintah ketika itu Sultan Sayyid telah mengarahkan agar meriam-meriam dinyalakan dan ditembak bagi mengusir hantu-hantu itu dan daripada itulah ia menjadi tradisi pada setiap sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Malah, tradisi menembak meriam buatan sendiri bukan sahaja dilakukan di sekitar rantau Nusantara, tetapi juga di negara-negara Eropah bagi meraikan sesuatu peristiwa atau perayaan.

Contohnya, masyarakat di Belanda juga mempunyai tradisi menembak meriam yang diisi dengan karbait pada setiap kali menyambut tahun baharu.

Tradisi yang sama juga dilakukan di Filipina yang menjadikan tembakan meriam buluh sebagai penyeri semasa sambutan tahun baharu masyarakat di negara itu.