Namun berbeza dengan apa yang dialami oleh empat pelajar Tahun 3 dan Tahun 4 Sekolah Kebangsaan Sena, Kangar Perlis apabil berjaya mereka cipta inovasi mudah tapi unik, 3R Kids Stool.

Inovasi berkenaan merupakan bangku mudah alih yang 3R bermaksud Reduce, Reuse & Recycle Ciptaan mereka agak mudah iaitu menggunakan papan lapis dan botol air mineral.

Papan lapis ini akan dipotong bulat dan botol mineral yang dibuang penutupnya akan dilekatkan pada papan lapis tersebut untuk membentuk bangku mudah alih.

Projek tersebut telah dimulakan Ogos tahun lalu telah disiapkan oleh kanak-kanak terbabit dalam masa dua minggu.

Kanak-kanak terbabit ialah Najihah Humairah Mohd. Najmuddin, 10, Nur Hana Alisha Khairel Rafezi, 10, Aiman Safwan Mohd. Mustafa Abdullah Al Bakri, 9, dan Muhammad Wafiq Mohd. Irfan Hatim, 9.

Guru-guru pembimbing di sekolah dan ibu bapa banyak mendorong mereka menghasilkan inovasi tersebut hingga berjaya. Idea asal datang daripada kanak-kanak ini.

Menurut salah seorang guru pembimbing, Ahmad Ferdaus Abdul Razak, inisiatif kanak-kanak tersebut mendapat sokongan guru besar, Roslan Yatim yang amat menggalakkan pelajarnya berinovasi. Dalam masa yang sama, beliau bersama dua lagi guru, Siti Sofiah Abdullah dan Azizah Hamzah berperanan membimbing mereka bagi memastikan projek yang dijalankan berjalan lancar.

“Sebagai ibu bapa, mereka menggalakkan kanak-kanak ini berjumpa dan berbincang selepas waktu sekolah untuk membuat kajian untuk menghasilkan produk ini,” katanya.

Menurut beliau, kajian yang dijalankan antaranya termasuk mencari maklumat berkenaan pencemaran alam sekitar ketika ini dan pentingnya membantu Bumi ini untuk kekal hijau.

Kajian lain antaranya termasuklah bagaimana pencemaran boleh mendatangkan kesan negatif pada global, alam sekitar, ekonomi dan kesihatan manusia. Mereka juga perlu memahami kaedah yang betul bagi membanding perbezaan antara botol mineral yang berisi air atau pasir lebih kukuh berbanding dengan botol air mineral yang kosong.

Berkongsi lebih lanjut Ahmad Ferdaus berkata, inisiatif murid berkenaan tercetus hasil idea Aiman Safwan yang terfikir untuk membuat bangku mudah alih yang boleh dibawa ke mana sahaja untuk membaca, berkebun, bersantai, berkelah dan duduk untuk makan. Ia hasil daripada bahan kitar semula iaitu botol mineral yang kebiasaanya dibuang begitu sahaja.

Justeru, beliau gembira dapat membimbing kanak-kanak tersebut yang sangat kreatif dan periang serta semangat ingin mencuba sentiasa ada dalam diri mereka. 
-Susunan LAUPA JUNUS

Dalam pada itu penyelia murid tersebut, Ahmad Ferdaus Abdul Razak berkata, oleh kerana 3R Kids Stool itu belum terdapat di pasaran, ia akan di bawa ke peringkat antarabangsa bagi membolehkan kerusi mudah alih ini dimanfaatkan dan menyemai perasaan cintakan bumi hijau dalam kalangan kanak-kanak.

Sementara itu bapa kepada Najihah Humairah, Dr. Mohd. Najmuddin Mohd. Hassan memuji gaya pemikiran kanak-kanak berkenaan yang mendorong mereka cuba menjalankan kajian atau penyelidikan lebih mendalam berkenaan kitar semula menerusi pencarian dalam Internet dan juga bahan media.

Menurut beliau, mereka juga sentiasa memikirkan penambahbaikan terhadap produk berkenaan.

“Sebagai contoh, meletakkan air yang berwarna ke dalam botol supaya kelihatan lebih menarik.

“Mereka juga berusaha mencari alternatif lain dengan cuba menggantikan air dengan pasir yang berwarna bertujuan menjadikannya lebih menarik dan berwarna-warni,’’ katanya.