hidupnya sering dengan kekurangan dan keterlanjuran

hatinya tidak sunyi dengan kekesalan dan keinsafan

sekiranya memohon ampun itu satu kerelaan

pastinya memaafkan itu satu kemuliaan

oleh itu dengan keikhlasan hati ini

sebelum terlintas kalimah maaf di fikiranmu

aku sudah pun memaafkan segala kekhilafan

sebelum terdetik ungkapan maaf di hatimu

aku sudah pun memaafkan segala kesilapan

sebelum terucap kata-kata maaf di lidahmu

aku sudah pun memaafkan segala kesalahan

kerana maaf segera hadir ketika keterlanjuran

tidak pernah disimpan mahu pun dihimpunkan

lantas mengharapkan ke atas diriku sedemikian

dimaafkan zahir dan batin setiap kali kekhilafan

bukan hanya ucapan setahun sekali di hari lebaran

Zurhan Bakar

Tasek Gelugor, Pulau Pinang