rindu Ramadan yang singgah

mendakap kubah sanubari

dalam narwastu rahmat

menghias jambangan kasturi istiqomah

merimbun aroma pintu muhasabah.

Seperti kebiasaan

seawal kerinduan indahnya Ramadan

bagai kelekatu meninggalkan liang

mendambakan pesona cahaya benderang

lalu berpusu-pusu datang

hingga anjung saf memanjang

malah melimpah hingga gerbang.

Seperti kebiasaan juga

ketika rindu Ramadan hampir penghujung

bagai kelekatu di Sahara

kudrat kecundang sayap bertaburan

berlumba meninggalkan ruang

hingga saf menjadi senggang.

Kini, kami antara yang tinggal

kekal merindui likur iman

menadah cahaya seribu bulan

sementara mereka tergoda barangkali

di bawah kerlipan peraga jualan

untuk digayakan pada pagi Syawal.

 

ABD. RAHIM OMAR

Sungai Petani, Kedah.