air tangan emak waktu berbuka

tamban kering goreng berlada

bersama nasi beras padi huma

hidangan ala kadar sahaja

kerana miskin tidak berdaya

namun cukup berselera

kami sekeluarga

Sesekali emak menukar menu

kuih tradisi bengkang ubi kayu

lempeng tepung serawa labu

air serbat selasih teras serdang

merah harum selera menjulang

sedap rasanya bukan kepalang

Ramadan, emak mengajar erti bersyukur

rezeki anugerah-Nya sudah diatur

berbuka bukan untuk mempamer kaya

mewah makmur melimpah pembaziran

insaf kepada insan-insan duafa

tak mampu menjamu selera

aneka juadah sarat semeja

makanlah secara berpada-pada

agar tidak mengundang murka

Ramadan mengundang rindu membara

air tangan emak dan pesanan berguna

mengiang mesra di telinga

pada setiap kali waktu berbuka

kini emak sudah lama tiada

 

SMAHADZIR

Banting, Selangor