DIA cuba mengumpul kembali warasnya setelah lama dia mengorak langkah. Badannya bagai sudah alah dengan lesu dan penat. Penat di jasad tidak separah penat di hatinya. Lesu dan jemu bersatu. Mengah sudah sebati di halkumnya, hampir merenggut asa yang menguatkan dirinya pada sejauh ini.

Ketika dia memulakan perjalanan itu, entah apa yang sedang bersarang di benaknya. Kata orang, ada satu garis tipis antara waras dan kegilaan dan dia telah melepasi garisan itu. Jiwa mudanya bergelodak, menangkis segala waras yang asalnya menghalang hasratnya itu.

“Apa kau fikir, kau boleh temukan apa yang kau mahu? Jangan jadi gila! Kekal saja di sini, jalankan tanggungjawab kau.”

Sudah berapa kali tegahan itu berlegar di dalam ruang yang dia gelarkan rumah, tetapi dia gelarkan sebagai sanggar durjana.           

“Habis tu? Apa yang aku lakukan ini, bukan tanggungjawab? Engkau senang cakap begitu kerana kau tak merasai apa yang aku tanggung. Kekeliruan yang aku terpaksa hadap apabila kebenaran dibuka. Kau fikir, akuakan berdiam saja? Kau dah rasa kasih sayang yang cukup sejak daripada kau kecil. Aku ni…?”

“Kenapa? Tak cukup kasih sayang yang arwah makbagi selama ni? Antara aku dan kau, dia tak pernah membezakan kasih sayang dia. Semua sama rata!”

Ketegangan tidak terlerai. Makin memuncak. Bagasi sudah dikemas dan kemas digenggam dia.

“Kau takkan pernah faham…” dia memandang lelaki tidak jauh darinya, duduk dengan peluh resah memercik. Lelaki itu lebih tua daripadanya, namun hormat sudah seakan tidak lagi wujud terhadapnya.

Begnya erat digalasnya, tekad sudah dibulatkan. Dia tidak kisah apa akibatnya kemudian hari. Yang penting, kemahuannya dituruti. Dia sudah cukup dewasa untuk menentukan hidupnya sendiri. Kebebasan itu mahu dia kecapi sedikit.

Benar kata orang, jangan membuat keputusan kalau jiwa dirundung marah. Penyesalan yang akan dirasai kemudian hari akandiabaikan kerana nafsu sedang membuak. Yang pasti, penyesalan itu sedang kini dirasainya, sedikit sebanyak menggugat usahanya kini. Barulah warasnya cuba untuk menyedarkan kebodohan yang dipilihnya. Menyesal sekarang tidak berguna lagi. Mahu atau tidak, perlu diteruskan hingga penghujung.

Dia melepaskan lelah penyesalan yang terbuku sejak beberapa hari lalu. Punggung dilabuhkan pada kerusi yang dijumpai. Beg galasnya diletakkan ke bawah. Sekadar melepaskan lelah yang telah lama terbuku. Mujur cuaca menyebelahinya, tidak terlalu panas dan tidak mendung petanda akan hujan.

Beg galasnya diselongkar. Botol minuman dicapai, tetapi sekeping kertas turut terkeluar sekali. Kertas itu; sekeping gambar, terpampang seorang wanita yang mengendongkan seorang anak kecil berlatarkan sebuah rumah kampung yang besar. Tiada guna berpatah arah, jejak harus dicari. Laluan perlu cerah agar mudah langkah diorak.

Lamunannya terhenti. Dia terhenti. Sakunya diseluk dan telefonnya diambil. Panggilan video daripada seorang yang dikenalinya.

“Helo. Assalamualaikum anak muda! Apa khabar kau kat sana. Masih bernafas? Hahaha!”

“Waalaikumussalam. Itu sajalah yang kau tahu. Kalau aku kau tak mengutuk, kau mengeji. Apa hal buat panggilan video kat aku?”

“Haaa…! Aku rasa aku ada petunjuk baharu, dan aku rasa ini petunjuk yang kau boleh pakai. Kau tahu apa aku buat, aku buat hantaran kat laman Facebook aku. Gambar yang kau bagi hari tu. Itu usaha terakhir aku nak menolong kau, dan Alhamdulillah ramai yang respon. Aku juga buat kajian sendiri lagi untuk sahkan balik apa yang aku terima. Dua tiga sahabat aku maklumkan bahawa tempat tu kat…”

“Kalau begitu, tak jauh dari tempat aku sekarang. Hantar lokasinya kat aku boleh? Sekarang!”

“Err, kalau apa yang aku temukan ni masih negatif hasilnya, apa kau nak buat?”

“Entahlah. Aku masih belum fikirkan lagi. Hmmm… Kau tahu, sesal tu dah mula datang. Penat. Dah hampir satu semenanjung aku merantau. Hasilnya masih kosong, semuanya tak mengena…”

Seketika, senyap menguasai keadaan, hanya bunyi sekeliling melingkarti perbualan mereka.

“Haih, macam inilah. Kau cuba cari kat lokasi yang aku akan bagi nanti. Kalau masih sama, terpulanglah kat kau. Ini misi kau, aku cuba membantu mana yang boleh. Apa pun keputusan kau, aku akan turutkan. Cuba kau fikirkan ayah kau…,”

 “Ayah tiri…!”

“Okey, ayah tiri kau kat rumah. Seorang diri dengan abang tiri kau. Kau bukan tak tahu, ayah tiri kau tu bukannya sihat sangat pun,kan? Walaupun sekadar ayah tiri, tapi tetap ayah yang menjaga kau daripada kecil. Itu kau tak boleh nafikan walau gigih mana kau membentak. Kau fikirlah mana yang betul. Kau tu, pandai, bukannya bodoh. Terserah. Assalamualaikum…” Perbualan itu tamat, dimatikan oleh yang memanggil. Seketika kemudian, pesanan mesej Whatsapp masuk, lokasi pencarian baharunya dihantar ke situ.

Harapan baru mula memutik. Semangatnya kembali menyuntik. Harapnya akan terus berkekalan dan kekecewaan tidak datang uuntuk memadamkannya.

Dia menggalas kembali begnya. Kekuatan baharu mengisi semangatnya. Baru sahaja hendak memulakan langkah, telefonnya berdering sekejab, tanda notifikasi baharu masuk. Dia melewati seketika skrin telefonnya. Ada mesej masuk melalui aplikasi pesananFacebookMessenger .

Awak kat mana?

Lama dia menatap skrin telefonnya. Egonya melembut kala dia melihat penghantar mesej itu.  Nafas dihela dan telefon itu digenggam erat. Serba salah mula menghentam dirinya. Dia tahu yang menghantar mesej itu risau akan dirinya.

“Saya tahu awak dah baca mesej ni. Saya faham kalau awak tak mahu membalasnya. Sekurang-kurangnya saya tahu awak selamat. Di mana pun awak berada, keselamatan awak sentiasa dalam doa saya…”

 Tidak sanggup lagi dia membaca mesej yang selanjutnya. Dia tak sanggup. Hatinya lembut dengan kehadiran dia, walaupun sekadar mesej di Facebook.

“Oh ya, saya dah buat sedikit kajian pasal gambar tu. Saya rasa saya dah temui tempat di dalam gambar yang awak tunjuk pada saya tempoh hari. Sahabat-sahabat dalam talian saya banyak membantu untuk mencari tempat tu. Nanti saya sertakan lokasinya…” Mesej yang kemudiannya disertakan pautan Google Maps. Dia ketik pautan tersebut. Matanya membundar sebaik saja nama tempat yang dipaparkan. 

“Cepatlah pulang apabila awak dah temukan apa yang dicari. Moga Allah sentiasa bersama awak. Assalamualaikum…”

Dia menaip sesuatu. Membalas mesej yang diterimanya dengan emoji senyum. Sekadar memberitahu maklumat tersebut sudah diterimanya. Benar, dia pun merindui wanita yang menghantar pesanan itu.

Dia lebih bersemangat. Maklumat asal yang diterima sudah disahkan dengan maklumat selanjutnya yang baru dia terima. Moga ini adalah pengakhiran yang sebenar.

Laluan yang bukan mudah. Banyak lagi yang dia harus redah. Ya, maklumat yang diterimanya memang di negeri yang berada kini tetapi masih lagi jauh jika sekadar hendak berjalan. Dia menuju ke arah perhentian bas yang terdekat. Mujur masih belum terlewat dan bas masih ada.

Debaran, dipadukan dengan rasa gemuruh dalam hati. Tangannya sejuk. Badannya sedikit menggeletar. Dalam gembira menemui petunjuk baharu, ini pula yang dirasai. Itu yang menguasai hatinya sepanjang perjalanan ke tempat yang ditujuinya. Bagaimana kalau tempatnya betul tapi yang dicarinya sudah tiada? Tak wujud langsung. Keluhan berat dilepaskan. Cuba menyuntik reda dalam hati. Sekurang-kurangnya dia sudah berusaha. Jika tiada yang dicari, menatap pusara pun sudah cukup baginya.

“Dah sampai, bang. Rasanya inilah tempatnya kalau ikut alamat yang abang bagi ni. Saya turunkan abang kat sini saja. Tambangnya semua sekali…” Dia kembali ke realiti. Suara pemandu kereta sewa itu menambahkan lagi debaran yang sekian tadi menghambat hatinya. Selesai menghulurkan duit tambang, dia menjejakkan kaki keluar.

            Dia memehati sekeliling. Tenang dan damaimembuai derianya. Dia mengambil masa seketika untuk melepaskan lenguh yang sekian tadi mengasak sendinya. Cuaca tidak panas, hanya redup menambah damai sedia ada. Seketika dia mengatur langkah. Tidak mahu membuang masa yang sudah banyak dia bazirkan. Dia berjalan tanpa arah. Jam menunjukkan angka 5; waktu rehat bagi warga kampung. Dia memerhati sekeliling, mencari orang yang boleh diajukan pertanyaan arah. Dia tiada alamat yang tepat bagi tempat yang ditujunya. Mendapat tuju ke kampung ini pun sudah cukup bagus.

            “Assalamualaikum…”

            “Waalaikumussalam…?” dia menoleh ke kiri dan ke kanan. Siapa yang memberi salam tadi?

            “Akulah. Pandang bawah ni,”

            Dia terkejut. “Eh, pak cik. Ya, ada apa?” hanya senyuman mampu dilakar. Hatinya terusik. Rendahnya pak cik yang menegurnya itu.

            “Kamu ni, sepatutnya aku yang ajukan dulu soalan tu. Aku tengok kamu ni, dari tadi dok ke hulu ke hilir tak ada tujuan. Cari apa tu. Cuba bilang pada pak cik ni. Mana tahu, boleh senangkan kerja kamu. Tak adalah aku pun ikut pening tengok kerjaan kamu ni.”

            “Err, macam ni pak cik. Saya ni ke mari ada tujuan. Mencari orang, tapi alamatnya saya tak ada. Saya ada buat carian sikit dan minta tolong kawan saya kat Facebook tolong carikan. Akhir sekali, yang paling mutakhir saya dapat kat sini. Ha, kat kampung inilah yang saya dapat tahu alamat orang yang saya cari tu.”

            “Pandai pula kawan kamu tu cari alamat sampai ke sini. Pakai apa eh?” orang tua itu berkerut-kerut menaakul maklumat yang diberitahu kepadanya. Canggih sangatkah teknologi kini sampai boleh cari maklumat macam tu saja?

            “Eh, hehe. Tak adalah pak cik. Mereka cari alamat sini berpandukan gambar ni. Ini sajalah petunjuk yang saya ada untuk cari orang tu.” Gambar yang dipegangnya dari tadi bertukar tangan. Diamati gambar yang diberikan. Wajahnya berkerut, mengingati sesuatu. Sesuatu yang telah lama tapi masihlagi kemas dalam ingatannya.

            “Aku nak tanya kau. Kenapa kau cari orang dalam gambar ni? Apa kaitan kau dengan perempuan dalam gambar ni?” soalan demi soalan segera diasak, dengan wajah yang keliru.

            “Pak cik tahu siapa orang dalam gambar ni? Betul ke pak cik tahu?”

            “Aku nak kau jawab soalan aku dulu. Apa kaitan kau dengan perempuan dalma gambar ni? Pertanyaan itu diasak kembali dengan nada yang tidak berpuas hati.

            Dia mengalah. Orang tua harus dihormati.

            “Baiklah. Sebenarnya, perempuan dalam gambar tu…” segera didedahkan segala cerita yang berkait antara dia dan perempuan dalam gambar itu. Sedikit pun tidak tertinggal dalam penceritaan. Orang tua itu; mula berubah riak muka sebaik cerita sebenar didedahkan. Dia tahu, saat ini akan tiba juga. Lambat atau cepat saja yang akan menentukan.

            “Nak, kamu dah terlambat sebenarnya. Perempuan dalam gambar tu dah…”

            Mereka beralih tempat daripada tepi jalan ke perkarangan rumahnya. Ceritanya bersambung di situ. Lebih selesa di atas pangkin. Dengan berat hati dan luluh diceritakan segalanya kepada dia. Dia berhak untuk mengetahui segala-galanya. Hubungan keluarga itu tidak sepatutnya terpisah tapi takdir tetap mengusik pertalian antara mereka. Apa yang boleh diharapkan, dia mampu menerima segala takdir.

            Dia hanya mampu memejam mata saat dia mengetahui semuanya. Dia tewas di situ juga. Tangisannya murah ketika itu. Soal malu dan anak jantan diketepikan. Hatinya rapuh ketika itu. Dia sedar betapa bodohnya dia. Cerita dahulu telah dibongkar. Sekurang-kurangnya dia telah mengetahui kebenaran. Tidak lagi perlu bersangka-sangka. Dia tahu, kemaafan perlu dipohon saat dia kembali ke rumah.

            Tangisan diseka. Dia menenangkan dirinya. Mujur dia duduk di atas pangkin, jikalau tidak, dia akan rebah di situ juga. Dia lemah di sebalik ego yang kemas tersemat di dalam hatinya.

            “Pak cik, terima kasih untuk semuanya. Sekarang, saya nak mohon petolongan akhir daripada pak cik. Saya nak balik sekarang juga. Boleh tak pak cik ….”

            Kini perjalanan baharu telah ditetapkan. Dia harus kembali cepat ke rumah. Jejaknya sudah sampai ke penamat.

Seminggu kemudian…

Sebuah komputer riba telah terpasang di atas meja di ruang tamu itu. Dia menggerakkan tetikusnya, sesekali menaip sedikit. Semuanya sudah siap.

“Kamu pasti ke, Zin. Mana tahu, salah orang ke?”

“Jangan risau, ayah. Zin pasti segala apa maklumat daripada pak cik kat situ, betul. Naluri saya tak pernah salah.” Tangannya masih galak menggerakkan tetikus. Beberapa ketikan pada tetikus itu dan dia terus menunggu. Matanya kekal pada skrin. Harapnya talian internet di sana laju.

Skrin masih memaparkan antara muka yang menunjukkan simbol menunggu. Talian di sana mungkin agak perlahan. Tak apa, dia sanggup menunggu untuk beberapa ketika lagi. Seketika paparan itu telah bertukar. Jelas di skrin itu, seorang wanita separuh umur. Perkara pertama yang dia kenal adalah senyuman itu.

“Assalamualaikum. Apa khabar anak ibu?” perempuan itu masih kekal dengan senyumannya.

Dia tidak dapat mengawal perasannya. Mulutnya kelu. Matanya kembali basah. Paling utama, dia bersyukur.

“Ibu…”

Tangisannya makin deras.

 

“Dan Tuhanmu telah memerintahkan agar kamu tidak menyembah selain Allah dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu dan bapakmu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang diantara keduanya telah berumur lanjut maka janganlah sekali-kali kamu mengatakan kepada keduanya perkataan ‘ah’ dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.” Al-Isra:23