Mana sahaja ada tempat untuk berpaut, ia akan duduk. Mana ada lapangan landai, ia akan bersantai dan mana ada ceruk, ia akan menyorok. Daripada perabung bumbung, jurai atap, talian api elektrik, dan kabel telefon semua dimonopoli.

Lelaki itu memimpin pandangannya menjelajah ke serata sudut. Sementara menunggu isteri meramahi pembantu butik busana dan barangan keperluan wanita, dia berlewah di situ. Melayan khayal dan asyiknya melihat lelayang dengan aksi mempesona.

Bukan setakat gelagat masing-masing beraneka gaya. Ada yang menyisip-nyisip kepala dan tengkuk pasangan. Ada yang terbang-terbang mengacah mengganggu teman bersendaloka. Ada pula yang asyik menyudu ketiak dan kepak sendiri.

Bahkan nyaring siulan dan nyanyi sang unggas itu juga amat mersik menusuk pendengaran. Bunyinya ibarat tifa seruling di pinggiran kali ketika anak petani melepas lelah usai bertani. Gesekan ritma biola pun alah dengan runut irama melankolia yang dimainkan bersilih nada.

Tidak dapat dinukilkan dalam bentuk kata-kata bagaimanakah tafsir indah simfoninya. Sempat pula dia merakam dengan gajetnya irama pada ketika remang senja kian sirna itu. Laungan azan baru surut beberapa detik tadi.

Di tingkat atas bangunan kedai, dia lihat kumpulan yang sama bertenggek sejajar, berkicau seakan Parlimen bersidang lagaknya. Tingkah bingit yang diterbitkan itu tidak pula mengganggu pelanggan yang berurusan berjual-beli. Pekedai terus juga melayani mereka dengan santun dan gembira dengan selingan muzik percuma yang didendangkan penghibur alam.

Lelaki tadi masih pegun di birai longkang memerhati penuh minat. Kelibat sang isteri belum muncul dari balik timbunan busana dan kain ela yang bergantungan di butik bersebelahan. Biarlah, dia tak kisah. Lagi lama, lagi baik. Dapat dia terus bermesra dengan langgam seni itu, fikirnya.

Sejenak dia melihat kawanan layang-layang mengubah kedudukan ke jajaran pohonan ceri di seberang jalan. Bilangan yang mampir ke situ kian bertambah. Barangkali mahu meneroka jajahan lain selepas kepadatan populasi mencapai tahap maksimum di bangunan tadi.

Rona kelam semakin menguasai suasana. Maghrib semakin tua. Dia telah berniat untuk jamak qasar takhir sebagai memenuhi rukshah seorang musafir. Itu alternatif bagi mereka yang sering berpergian.

Pernah suatu ketika dia mendengar perbincangan fasal solat jamak qasar itu. Kata seorang jemaah pada majlis ilmu yang sempat dihadiri, apa perlunya jamak lagi kalau kita boleh solat di mana-mana surau atau masjid yang bertaburan di negara kita ini. Tak perlu qasar pun!

“Kalau dahulu betullah usataz, tak ada tempat untuk bersolat,” hujahnya. Betul juga. Kalau kita lihat sepanjang jalan berjujuk rumah ibadat. Tidak jauhlah, selang dua tiga kilometer akan terserempak surau atau masjid. Mudah sahaja untuk kita bersolat walau dalam perjalanan sejauh mana pun.

“Bukan soal ada surau atau masjid,” ujar Ustaz Munif santun meladeni soal jemaah yang kelihatan bijak juga itu. Ada antara jemaah yang mengiyakan pandangannya. Selama ini kita fikir himpun solat itu untuk kemudahan ketika perjalanan kerana sukar untuk menemui tempat solat.

“Habis, apa guna kerajaan bila tempat ibadat yang banyak itu, ustaz?” lontar idea bernas pemuda tadi. Semua jemaah menunggu jawapan ustaz Munif.

“Rumah Allah lambang syiar Islam. Rukshah itu anugerah Allah untuk ummatnya. Allah maha mengetahui, Ar-Rahman, Ar Rahim. Kasih sayang Allah melebihi duga akal manusia,” bidas ustaz itu dengan hemah. Kelihatan jemaah angguk-angguk pula.

“Allah sudah memberinya, tak kan kita tidak sudi menerima?” dia pula lontar soal kepada jemaah umum. Paling terkena jemaah muda tadilah. Matanya terkebil-kebil sambil mindanya mula berfikir. Sentap, kot.

Fahamlah dia kini, rukshah itu bukan fasal solat jamak qasar dan ibadat sahaja, bahkan kasih Allah kepada ummatnya. Malah masuk ke jannah pun kerana rahim-Nya, bukan amal warak kita. Wajarlah kita menerimanya sebagai anugerah daripada yang Maha Pemberi.

Mengingatkan siri kuliah ustaz Munif, terfikir juga lelaki itu tentang unggas yang bikin riuh di depannya. Sejauh mana pula kembaraannya sebelum sampai semula ke bangunan itu. Seperti mafhum hadis ‘pagi-pagi keluar dari sarang, petang kenyang baharu pulang’, sudah pasti laluannya lebih jauh daripada jerayawara manusia.

Apa lagi unggas yang migrasi dari benua ke benua seperti tular di media apa yang berlaku di Sabak Bernam dan Bagan Lalang baru-baru ini. Pasti beratus ribu kilometer jauh penerbangannya. Ya, lelayang itu musafir saban hari!

Pernah dibuktikan oleh seorang sarjana pengkaji fauna, betapa burung Northen Wheateater terbang keliling sejauh tiga perempat dunia! Burung Cikalang pula direkodkan terbang sehingga 260 batu sehari untuk mencari makanan. Wah!

Sudah pasti Allah ada memberi rukshah kepadanya untuk beribadat. Atau Allah beri cutikah kepada unggas ketika mengembara itu?

Kalau sudah berkilometer terbang sudah pasti solat burung itu pun diringkaskan, kan? Eh burung pun solat ke macam manusia? Entahlah. Kata orang semua makhluk Allah beribadat, solat. Iya kot!

“Abang!”

“Abang, jom! Dah siap,” sang isteri ulang sambil cuit bahu suami yang masih leka memaku pandang. Sedikit kaget, lalu membantu si isteri membawa barangan yang diborong dari busana tadi. Boleh tahan juga banyak. Perempuan kalau dah berbelanja, begitulah. Apa lagi jika tidak diganggu suami!

“Jap!” si suami menutup rakaman siulan unggas tadi.

“Bunyi burung pun nak rakam,” omel si isteri sayup tetapi masih dapat didengari. Mereka berganjak meninggalkan premis itu menuju parkir.

Si suami masukkan bungkusan barang ke boot kereta sambil isterinya mula membuka pintu hadapan.

“Ya Allah, bang! Apa ini?”

Kelihatan dia menjerit kegelian. Si suami sedikit kaget lalu melihat apa yang isterinya tunjukkan. Alangkah besar kejutan yang dialami ketika melihat tempekan tinja di sekeliling panel pintu BMW-nya.

Bukan sahaja di situ, malah seluruh badan keretanya dipenuhi najis, panas-panas lagi. Huh! Dia buka ‘wiper’ dan bilas dengan pancuran air cermin depan. Bertepek pula di celahan bingkai. Bijian buah ceri yang menjadi bahan utama makanannya terpeta di cermin.

“Ceh, kat sini pula kau berak!” lelaki itu melampiaskan geram. Bunyi siulan dan jeritan unggas di ranting ceri terus menyerang telinga. Kali ini bunyi itu bukan lagi simfoni paling indah seperti tadi. Ianya seakan ledakan petir menggeggar cuping pula.

Semakin dia geram, semakin galak pula lelayang itu menari dan menyanyi di julai ceri. Beralun lembut dedaun yang rimbun. Mendidih emosi lelaki itu. Dalam dia membuang kotoran yang lekat di pemegang pintu, setompok tahi menjatuhi lengannya.

“Celaka betul!” laungnya seraya mendongak murka. Dia kutip batu di jalanan dan melontar ke arah burung-burung itu. Semakin galak pula sahutan lelayang persis sindiran buatnya.

Si isteri meloloskan diri ke dalam penuh gerutu. Jijik benar reaksinya melihat tempekan najis di cermin sisi. Keras kutukannya atas apa yang berlaku itu. Malam sudah , tentu tiada spa cuci kereta beroperasi. Mahu tidak mahu, dia parkir juga di depan hotel untuk beristi rahat meski jengkel.

Sepenuh malam memang lenanya kurang nyenyak. Perasaan berbaur antara irama yang mulanya gemersik tapi bertukar menjadi menyakitkan. Marahnya kepada lelayang itu masih berbara, kalau walit berjasa juga kepada manusia, desisnya.

Pagi itu dia cuba bertenang sesudah ubudiah. Siap. Mereka ‘check out’ awal. Ada urusniaga yang mahu diselesaikan. Sebagai saudagar minyak yang sudah mapan, memang banyak kerjaan.

Punat kawalan jauh ditekan menghampiri jentera mewahnya, tetiba perasaannya jadi lunak. Matanya bertembung dengan pandangan si isteri.

“Bang, hujan ke malam tadi? Alhamdulillah…” si isteri seakan terkesima sambil meraup tangan ke muka. Dia pandang suami yang tidak lagi bermega di wajah. Tiada lagi tempekan tinja yang menyenakkan mata memandang semalam.

Mereka jeda berpandangan. Segemal sesal dan insaf berpuput di jenggala hati. Berbaur pula rasa bersalah dan syukur melihat warga alam yang tidak pernah melakukan salah. Segalanya berperanan bagaimana aturan.

Awan di ufuk kelihatan kontang selepas menumpahkan kandungan. Basi lecah menjadi dalil bumi yang basah. Tiada langsung kesan tinja semalam di atas kereta mewahnya. Lembayung pagi seputih salju, dingin dan menampakkan seri.