Ahmad, Ah Leng dan Nitesh menyanyi bersama-sama pada pagi itu sambil berjalan menuju makmal komputer. Mereka bertiga sangat teruja setiap kali mata pelajaran Bahasa Melayu kerana Cikgu Rahim akan menggunakan Persekitaran Pembelajaran Maya Frog (VLE Frog) dalam pembelajaran. Pada masa kini pembelajaran berasaskan laman sesawang dapat memudahkan murid dan guru berinteraksi secara maya dalam menyiapkan tugasan. Seperkara lagi yang menarik dalam VLE Frog ini adalah Permainan Frog (Frog Play). Murid-murid dapat bertanding secara maya dalam sesuatu permainan. Sepakan Penalti adalah permainan yang sangat popular di Sekolah Kebangsaan Taman Universiti 5. Ahmad ialah penjaring terbanyak di sekolah dengan 1044 gol, sementara Nitesh di tempat kedua dengan 1017 gol dan Ah Leng di tempat ketiga dengan 818 gol. Mereka bertiga dan semua murid SKTU5 bertanding secara sihat merebut tempat yang terbaik. Hari ini Ahmad dan Nitesh akan bersaing lagi mencari seberapa banyak gol yang boleh.

“Hari ni aku akan kalahkan kau Ahmad, aku akan jadi nombor satu, lagi 27 gol je...”

“Kau ingat aku nak berdiam diri je...Aku pun akan terus pertahankan gelaran ‘jaguh sepakan penalti’ di sekolah kita” 

Sepakan Penalti dalam Subjek Bahasa Melayu

            Sementara itu di satu sudut lain, kelihatan Samuel memerhatikan gelagat mereka bertiga. Samuel selalu mencemburui kejayaan mereka bertiga. Samuel juga telah beberapa kali melakukan kesalahan disiplin dan telah dikenakan tindakan disiplin. Namun Samuel belum lagi hendak berubah menjadi murid yang berdisiplin.

“Hei kau orang bertiga boleh diam tak, aku nak belajarlah.” Kata Samuel dengan nada yang tinggi.

            Mereka bertiga terdiam seketika dan kemudian meneruskan tugasan yang diberikan Cikgu Rahim. Seperti kebiasaannya Cikgu Rahim akan memberikan tugasan Bahasa Melayu menggunakan Bahan Bantu Mengajar (BBM) yang terdapat di dalam VLE Frog.

“Saya dah semak tugasan yang diberikan minggu lepas, hanya seorang murid lagi yang belum menghantar. Bila kamu nak menghantar tugasan ni Samuel? Hari ni hari terakhir kamu perlu menyiapkannya, jika tidak kamu tak dapat markah dalam tugasan ni.” Kata Cikgu Rahim dengan nada yang tegas mengingatkan Samuel.

“Bagi murid yang telah menyiapkan tugasan, kamu semua boleh membuka Permainan Frog (Frog Play). Buat latihan kuiz Ayat Pasif di situ. Ayat Pasif bermaksud menerangkan benda atau orang yang dikenakan perbuatan ke atasnya. Contohnya; Bola ditendang oleh Ahmad. Kamu boleh membuat latihan sambil bermain permainan yang kamu suka. Mengikut rekod dalam laporan yang saya terima, Ahmad mendapat tempat pertama dalam permainan tendangan penalti dengan 1044 gol. Tahniah Ahmad! Murid-murid lain masih berpeluang mendapat tempat pertama. Pertandingan ini dibuka sehingga akhir tahun. Bersainglah secara sihat. Ahmad pun telah berusaha semenjak tahun empat lagi.” Kata Cikgu Rahim memberi penerangan dengan jelas.

Arahan dan penjelasan daripada Cikgu Rahim disambut dengan tepukan oleh murid-murid Tahun Lima Setia. Mereka berasa bangga kerana rakan sekelas mereka berada di tempat pertama dalam ranking sekolah. Mereka juga berasa gembira kerana dapat belajar Bahasa Melayu sambil bermain permainan pilihan mereka. Namun begitu, Samuel pula kelihatan kurang gembira kerana perlu menyiapkan tugasannya terlebih dahulu. Cikgu Rahim pula meneruskan pengajarannya pada waktu tersebut.  

“Baik murid-murid, sila lihat soalan pertama pada skrin di hadapan. Siapa boleh jawab sila angkat tangan? Tukarkan ayat aktif ini kepada ayat pasif ‘Encik Sofiah membuat pinjaman bank untuk menjalankan projek penternakan ikan air tawar.” Kata Cikgu Rahim sambil menunjukkan ayat tersebut menggunakan penunjuk pancaran laser.

“Saya nak jawab cikgu, jawapannya adalah , Pinjaman bank dibuat oleh Encik Sofiah untuk menjalankan projek penternakan ikan air tawar.” Kata Ahmad memberi jawapan dengan yakin.

“Ya, tepat jawapan Ahmad tu.” Kata Cikgu Rahim sambil menunjukkan isyarat bagus kepada Ahmad.

“Sekarang Ahmad boleh memulakan permainan sepakan penalti tu.” Kata Cikgu Rahim menyambung pengajarannya.

Ahmad menunjukkan bakatnya menjaringkan gol permainan komputer itu. Dia menggerakkan tetikusnya sehingga mencapai tahap maksimum. Apabila telah berada pada kedudukan yang terbaik dia menekan butang kiri tetikus itu.

“Goolll....” Jerit Ahmad kegembiraan meraikan kejayaannya menjaringkan gol di sudut kanan tiang gol.

“Tahniah Ahmad. Sekarang semua murid kecuali Samuel boleh menyambung menjawab soalan kuiz Bahasa Melayu ni dan berseronok dengan permainan komputer tu, kamu boleh mulakan sekarang.” Kata Cikgu Ahmad disambut dengan suasana kegembiraan murid-murid Tahun Lima Setia.

Sedang mereka berusaha menjawab soalan kuiz dan mendapatkan mata daripada permainan komputer, tiba-tiba Samuel yang datang daripada belakang menutup suis komputer milik Ahmad. Habis mata yang dikumpulkan oleh Ahmad pada pagi tu. Ahmad berasa sedih dan marah, namun sahabatnya Ah Leng menenangkannya.

Persaingan Sengit

Beberapa minggu selepas peristiwa pada pagi itu sedikit sebanyak meninggalkan kesan kepada Ahmad. Dia tidak dapat menyiapkan kuiz Bahasa Melayunya. Malahan Nitesh telah semakin hampir mengejar jumlah jaringannya. Nitesh sekarang hanya tinggal tujuh gol lagi menyamai jaringan Ahmad. Persaingan semakin sengit. Samuel pula kelihatan hendak berbaik-baik dengan Nitesh. Tinggallah Ahmad dan Ah Leng berdua. Mereka berjalan bersama-sama menuju ke kantin dan ke beberapa tempat yang lain.

“Macam mana ni Ahmad, kawan baik kita Si Nitesh tu dah jarang bersama kita. Apa yang perlu kita buat? Tanya Ah Leng kepada Ahmad semasa mereka berjalan menuju ke kantin.

“Bertenang Ah Leng, pasti ada jalan penyelesaiannya. Aku dah lama kenal Nitesh. Dia baik orangnya.” Kata Ahmad dengan penuh ketenangan.

            Sikap Ahmad yang tenang dan sentiasa berfikiran positif membuatkannya disenangi oleh ramai kawan. Sifatnya yang demikian juga dapat menjadikannya seorang yang penyabar dan dapat menyelesaikan banyak masalah. Di sekolah, dia bukan sahaja bijak dalam bidang kurikulum malahan aktif dalam bidang kokurikulum. Tidak hairanlah namanya dikenali oleh guru-guru dan murid-murid di  Sekolah Kebangsaan Taman Universiti 5. Beliau juga banyak kali telah mewakili sekolah di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan. Acara yang menjadi kegemarannya adalah Pertandingan Reka Cipta Robotik. Pada tahun lepas dia telah memenangi anugerah di peringkat kebangsaan. Cita-citanya untuk mencipta permainan robotik dalam bola sepak. Sebab itu dia telah mencuba sedaya upaya untuk memenangi permainan komputer tendangan penalti tersebut. Dia berazam untuk sampai ke peringkat antarabangsa pada tahun ini. Hasratnya tidak kesampaian pada tahun lepas kerana ibunya telah kembali ke rahmatullah semasa dia telah membuat persiapan untuk mewakili negara. Kejayaannya pada tahun ini akan menjadi hadiah buat Allahyarhamah ibunya. Tetapi dia perlu menempuhi halangan di peringkat sekolah terlebih dahulu untuk mendapatkan keyakinan guru-guru akan kelebihannya. Kini dia perlu bersaing dengan kawan baiknya iaitu Nitesh pula.

‘Mendung Hitam Di Sekolah’

Kini setelah sebulan peristiwa itu, Nitesh hanya tinggal satu gol di belakang Ahmad. Persaingan sangat sengit. Nitesh semakin rapat dengan Samuel. Banyak rahsia Ahmad telah diceritakan kepada Samuel. Sehinggalah berlaku satu peristiwa yang menggemparkan sekolah.

“Ada murid kita yang cuba menggodam laman sesawang (web) rasmi dan surat elektronik (email) sekolah. Pihak sekolah telah mengenal pasti murid tersebut melalui pengenalan diri vle frognya. Pihak pentadbir sedang menyiasat perkara ini dan kami tidak menyangka murid yang selama ini kami anggap berkelakuan baik tetapi sanggup melakukan kesalahan disiplin yang besar ni. Saya harap tak ada murid yang mengikut jejak langkah seperti ini.” Kata Cikgu Rahim yang juga Guru Disiplin Sekolah dengan tegas sewaktu perhimpunan rasmi sekolah pada pagi itu.

Ahmad tertunduk diam di tapak perhimpunan dan murid-murid lain memandang ke arahnya. Sebenarnya ramai murid telah tahu, Ahmad dipanggil beberapa kali ke Bilik Guru Besar kerana dituduh menceroboh atau menggodam laman sesawang (web) sekolah. Dia juga dituduh menyebarkan maklumat palsu menggunakan surat elektronik (email) sekolah. Sabit kesalahan dia boleh dikenakan tindakan buang sekolah. Ahmad tidak mengakui tuduhan tersebut dan meminta pihak sekolah menyiasat dengan lebih teliti lagi. Ahmad cuba merahsiakan perkara ini daripada pengetahuan bapanya kerana bimbang akan kesihatan bapanya boleh terjejas apabila mendengar perkara ini. Namun pihak sekolah telah terlebih dahulu menelefon bapanya untuk membuat siasatan lanjut.

“Kenapa kamu buat perkara yang salah ni Ahmad, saya dah beri tahu kepada bapa kamu sebentar tadi. Dia dah setuju supaya kamu dikenakan hukuman yang setimpal jika sabit kesalahan. Kamu mengaku kesalahan kamu atau tidak?” Kata Cikgu Rahim dengan tegas  semasa menyambung siasatan kes Ahmad di bilik disiplin setelah selesai perhimpunan sekolah.

Ahmad terdiam seketika dan hampir menitiskan air mata mengenangkan kekecewaan bapanya apabila mendengar berita seperti ini. Dia hanya mampu berdoa semoga Allah menunjukkan jalan penyelesaian dan memberikannya ketabahan menghadapi dugaan ini. Semoga ‘mendung hitam’ yang dialaminya akan bertukar kepada hujan rahmat yang memberi kebaikan kepadanya.

“Kenapa kamu diam Ahmad? Saya perlu jawapan dan pengakuan kamu.” Kata Cikgu Rahim yang masih menanti pengakuan daripada Ahmad.

“Bukan saya yang buat cikgu, macam mana saya nak mengaku. Cuba cikgu siasat lagi. Tengok pada kamera televisyen litar tertutup (CCTV) sekolah.” Kata Ahmad memberi cadangan.

“Kamu jangan nak mengajar saya pula. Saya bagi kamu tempoh sehingga esok untuk kamu tandatangan surat pengakuan kesalahan disiplin ni.” Kata Cikgu Rahim memberi kata putus.

Setelah selesai sesi soal jawab siasatan pada pagi itu tetapi Cikgu Rahim masih belum mendapat petunjuk untuk menyelesaikan kes ini. Kemudian dia terfikir ada benarnya juga cadangan Ahmad tadi. Dia bergegas ke pejabat meneliti rakaman pada kamera televisyen litar tertutup (CCTV) untuk makmal komputer. Terdapat tiga kamera CCTV yang dipasang di makmal komputer. Satu kamera diletakkan di luar makmal, satu di bahagian hadapan dan satu lagi di bahagian belakang makmal. Murid-murid tidak perasan kewujudan kamera tersebut kerana ia direka berada di dalam objek lain. Contohnya kamera yang diletakkan di bahagian hadapan makmal berada di dalam jam dinding yang di sangkutkan di atas papan putih.

Hampir setengah hari Cikgu Rahim meneliti rakaman CCTV tersebut. Alangkah terperanjatnya Cikgu Rahim apabila mendapati kelibat dua orang murid menyusup masuk makmal komputer tanpa pengawasan guru. Apabila Cikgu Rahim membuat zum (zoom) kepada gambar rakaman CCTV tersebut, didapati dua orang murid tersebut ialah Samuel dan Nitesh.

Pada keesokan harinya, pagi-pagi lagi Cikgu Rahim memanggil Samuel dan Nitesh ke biliknya. Beliau ingin menyoal siasat mereka berdua dan menyelesaikan kes tersebut dengan segera. Terperanjat Samuel dan Nitesh apabila Cikgu Rahim memanggil mereka berdua ke bilik disiplin. Mereka dapat merasakan Cikgu Rahim sudah dapat menghidu perbuatan mereka. Perasaan mereka berasa gentar dan takut apabila melangkah ke Bilik Disiplin Sekolah.

“Apa kesalahan disiplin yang telah kamu berdua lakukan?” Tanya Cikgu Rahim dengan nada tinggi dan tegas.

“Sa.. saya tak buat salah apa-apa cikgu.” Jawab Samuel terketar-ketar apabila terkejut mendengar ketegasan suara Cikgu Rahim.

“Bohong! Saya ada bukti kamu berdua menceroboh masuk ke makmal komputer.” Kata Cikgu Rahim menepis pengakuan Samuel sambil menunjukkan salinan foto mereka berdua menggunakan komputer sekolah tanpa kebenaran guru.

Setelah disoal siasat terbukti mereka berdua yang melakukan kesalahan tersebut. Pengenalan diri Ahmad telah disalahgunakan. Pengenalan tersebut diperoleh oleh Nitesh semasa mereka berkawan baik dulu.

Hujan Rahmat Untuk ‘Si Katak’

            Ahmad telah terselamat daripada tuduhan yang memburukkan nama baiknya. Samuel dan Nitesh telah mengakui kesalahan mereka dan telah dikenakan tindakan disiplin. Mereka bertiga juga telah berkawan baik semula.

            Pada penggal kedua persekolahan, selepas peperiksaan akhir tahun, Cikgu Rahim membuat pengumuman pelajar yang mendapat jaringan gol tertinggi dalam permainan Frog (Frog Play) Persekitaran Pembelajaran Maya (VLE). Ahmad mendapat tempat pertama dengan 2018 gol, Nitesh tempat kedua, Ah Leng tempat ketiga dan Samuel tempat keempat. Mereka berempat sangat gembira kerana permainan yang selalu mereka nyanyikan ‘si katak lompat’ telah dapat menyatukan semula mereka.

Sebenarnya Ahmad sendiri yang telah berjumpa dengan Guru Besar supaya memaafkan kedua-dua rakannya dan terus diterima bersekolah di sini. Permainan ‘si katak lompat’ ini telah menjadi rahmat menyambung semula persahabatan mereka. Ahmad juga telah berjaya mencapai cita-citanya untuk mewakili negara dalam pertandingan robotik peringkat antarabangsa yang akan diadakan di Jerman pada hujung tahun ini. Mereka inilah yang bakal mengharumkan nama negara pada masa hadapan.