Tidak tergamak aku terus-menerus menatap susuk tubuh yang terbaring lemah di katil itu. Serta-merta air mataku bertakung di kelopak mata melihat penderitaan dan kesengsaraan rakan baikku menghadapi saat-saat yang cukup getir dan sukar untuk diterima oleh seluruh ahli keluarganya. Aku mengalihkan pandangan dan merenung ke luar jendela tatkala suasana sepi menghimpit diriku. Meskipun suasana di ruang legar wad kelas 5B itu riuh dengan suara orang ramai tetapi hatiku terasa sepi dan terasing. Meskipun jambangan bunga memenuhi kamar rakanku itu, namun hakikatnya bau wangian bunga itu langsung tidak seharum bau ubat-ubatan di wad tersebut. Sudah seminggu rakan baikku itu ditempatkan di wad kelas 5B kerana diserang angin ahmar.

            “Ami, kalau aku sudah tiada mahukah kau mandi dan kafankan aku? Aku tidak mahu orang lain menyentuh tubuhku melainkan kau, kawan baikku.” Ujar rakanku itu pada suatu hari.

            Aku tergamam apabila ditebak dengan pertanyaan sebegitu. Sebelum ini, dia langsung tidak pernah berkata sedemikian. Kukira pertanyaan seperti itu datangnya secara melulu tanpa disedari.

            “Ah, sudah hilang akal agaknya kau, Zai. Tiba-tiba sahaja bertanyakan tentang soal kematian.” Balasku acuh tak acuh sahaja.

            Zai ketawa. Kemudian matanya merenung ke dalam mataku seperti memberikan isyarat bahawa dia amat memerlukan jawapan daripada diriku.

            “Aku tanya sebab kematian pasti akan datang menjemputku suatu hari nanti. Kau sebagai kawan baikku haruslah bersiap sedia bila tiba detik itu nanti.”

            Terjojol biji mataku apabila mendengar kata-kata dari bibir Zai. Aku tidak pasti adakah benar Zai mengetahui tentang jangka hayat hidupnya atau aku tidak sedar bahawa Zai sedang memberikan aku petanda bahawa dia bakal meninggalkan aku dan ahli keluarganya yang lain. Sungguh, dalam banyak perkara aku banyak main-main dan mengambil kesemuanya dengan cara yang mudah. Tidak ada satu pun yang benar-benar dapat membenamkan perasaanku.

            “Mai, kalau terjadi apa-apa pada diriku sanggupkah kau mandi dan kafanku?” rakanku itu masih lagi mengulangi persoalan yang sama.

            Sekali lagi aku tergumam. Tidak ada kata-kata yang keluar dari mulutku. Peluh dingin semakin melingkari tubuhku. Aku sama sekali terperangkap dengan gejolak jiwa yang tidak menentu. Jari telunjukku serta-merta diletakkan di bibir rakanku itu. Aku mahu dia diam dan tidak mengulangi pertanyaan yang aku sendiri tidak menginginkannya.

            “Jangan kau marah padaku Mai. Setiap insan pasti akan merasainya apabila tiba detik itu nanti. Aku sekadar mengingatkan diriku sendiri. Persiapan yang aku harus bawa apabila dijemput ke sana nanti. Jangan kau takut pada kematian, Mai.” Ujar rakan baikku itu tanpa berselindung.

            Berkerut dahiku memikirkan kata-kata rakanku itu. Aku tidak memahami apa yang tersirat di sebalik kata-kata terakhirnya itu. Kata-kata itu masih lagi terngiang-ngiang di cuping telingaku setiap saat dan waktu. Menular sehingga ke setiap urat darahku. Aku cuba mencari jawapan kepada kata-kata rakan baikku.

            Aku balik ke rumah dengan hati yang pilu. Hanya doa semata-mata sahaja yang boleh kuberikan kepada rakan baikku itu. Sementelah dirinya sedang bergelut dengan kesakitan, aku pula bergelut dengan soal kematian.

            “Baru balik? Macam mana Zai?” tegur mama yang menjengukkan kepalanya dari luar pintu bilikku.

            Aku tidak menjawab. Aku hanya menundukkan wajahku melihat lantai simen yang berbalam-balam. Ia ibarat diriku yang jiwanya kacau dan bercelaru.

            “Mai rehatlah dulu,” ujar mama apabila aku tidak memberikan jawapan.

            Namun, belum pun sempat kaki mama melangkah dengan segera aku memanggil mama. Mama tidak jadi melangkahkan kaki meninggalkan aku sebaliknya terkedu apabila dipanggil sebegitu.

            “Ya, ada apa Mai?” soal mama sedikit cemas.

            “Bagaimana caranya kita tahu kematian semakin menghampiri kita?” tanyaku sambil mengangkat muka memandang wajah mama.

            Mata mama tertancap pada wajahku dengan penuh kehairanan. Hairan kerana aku mengutarakan persoalan yang tidak pernah dikemukakan sebelum ini. Mama mengeluarkan komputer ribanya lalu mencari sesuatu di laman sesawang. Aku hanya memerhatikan tindakan mama dengan perasaan ingin tahu. Beberapa minit kemudian, mama menunjukkan hasil pencariannya di laman sesawang dan mataku terbeliak secara tiba-tiba.

            “Nah, cuba baca portal tentang kematian-oleh Ustaz Ajid” kata mama sambil meletakkan komputer riba di atas ribaku.

            “Tentu semua jawapan bagi setiap soalan yang Mai tanya ada di portal ini. Perhalusilah sedalam-dalamnya,” celah mama lagi. Kemudiannya mama meninggalkan diriku melayari perasaan ingin tahu di laman portal tersebut.

            Berdasarkan pengarang kitab Al-Mughni : "Jika kematian seseorang menimbulkan kesamaran, hendaklah diambil kira tanda-tanda kematian yang terdapat padanya seperti terkulai kaki, terpisah sendi tangan, condong hidung, kendur kulit muka dan dua daun telinga kelihatan menurun ke bawah."

            Para fuqaha juga membuat kesimpulan kematian dengan melihat kepada arah mata, berdasarkan hadith-hadith Nabi Muhammad s.a.w : Dari Ummu Salamah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda "Sesungguhnya roh apabila diambil maka matanya akan menurutinya (memandang ke atas)" (Sohih Muslim) manakala Dari Shidad "Kiranya kamu menghadiri orang yang mati dari kalangan kamu, tutupilah matanya, kerana matanya mengikuti rohnya (terbuka dan melihat ke atas), serta bercakaplah (di antara kamu) dengan perkara yang baik.(MusnadAhmad) Berdasarkan hadith ini, mengenalpasti kematian melalui mata adalah suatu tanda yang amat penting bagi menunjukkan sama ada roh telah berpisah dari jasad atau pun sebaliknya.

            Aku menyandarkan tubuhku pada dinding. Sungguh, pembacaan soal kematian dalam portal itu membuatkan aku ingin mengetahui maklumat selanjutnya. Kemudian, Ustaz Ajid ada menerangkan tentang kematian secara lebih mendalam.

            100 hari sebelum menjelangnya saat kematian. Meremang bulu romaku apabila meneliti tanda-tanda kepada kematian. Pelbagai persoalan tiba-tiba menyerang urat sarafku. Aku termenung apabila memikirkan betapa aku telah banyak melakukan dosa-dosa yang tidak terhitung banyaknya.

            Ya Allah, aku baru mengerti mengapa rakan baikku itu meminta aku memandikan dan mengafankan dirinya. Dia mahu aku bertaubat dan melakukan sebanyak mungkin amalan untuk dijadikan bekalan di akhirat kelak. Dia benar-benar sayangkan diriku maka dia mahu aku masuk ke syurga bersama-sama dengannya nanti. Bisikku di dalam hati.

            Air mataku tiba-tiba sahaja merembes keluar mengalir lesu di pipi. Sebelum ini, aku terlalu sibuk dengan hal-hal keduniaan semata-mata. Saban waktu aku sering terlupa tentang waktu solatku yang selalunya tidak lengkap dan kadang-kadang jauh ketinggalan daripada landasannya.

            Mataku menyorot kembali ayat-ayat yang terdapat di portal itu. Ada topik perdebatan hangat yang benar-benar mengusik perasaanku. ‘Dialog kubur untuk yang bakal berangkat ke sana.’ Nasihat kubur itu aku baca dan fahaminya satu-persatu.

            Aku adalah tempat yang paling gelap di antara yang gelap, maka terangilah aku dengan tajahud. Aku adalah tempat yang paling sempit, maka luaskanlah aku dengan silaturahim. Aku adalah tempat yang paling sepi, maka ramaikanlah aku dengan perbanyakkan baca al-Quran. Aku adalah tempat binatang-binatang yang menjijikkan, maka racunilah ia dengan sedekah. Aku adalah tempat untuk merendammu dengan cairan yang menyakitkan, maka bebaskanlah rendaman itu dengan puasa. Aku adalah tempat Munkar dan Nakir bertanya, maka persiapkanlah jawapanmu dengan perbanyakkan mengucap kalimah LAILAHHAILLALLAH.

            Bunyi deringan telefon bimbitku yang terletak di atas meja bacaan menyebabkan aku tersentak dan terkejut. Serta-merta aku mencapai telefon bimbitku untuk bercakap dengan sipemanggil yang membuat panggilan. Suara yang kudengari melalui corong telefon itu amat aku kenali. Ibu Zai meminta aku segera ke hospital.

            Apabila mendengar getaran suara ibu Zai, secara tiba-tiba sahaja air mataku mengalir laju di pipi. Jantungku berdegup kencang seolah-olah ingin pecah. Terasa dunia berputar-putar ligat mengelilingi diriku. Tanpaku sedar, kakiku sudah menginjak lantai hospital yang sejuk dan membeku. Aku mendengar tangisan dan raungan dari dalam bilik Zai. Aku tergamam dan jatuh terjelepuk seperti seekor sotong yang lembik tidak bermaya. Dari jauh, aku dapat melihat sekujur tubuh ditutupi dengan sehelai kain putih. Kesemua ahli keluarga Zai sedang berduka dan menangisi pemergian anak kesayangan mereka.

            Ya Allah! Aku meraung di dalam hati. Hilang sudah sebuah persahabatan. Putus sudah sebuah silaturahim. Sahabatku ini pergi tanpa sempat mengucapkan salam perpisahan kepada diriku.

            Setelah seminggu berlalu, ibu Zai memberitahu bahawa rakan baikku itu ada mengutuskan e-mel untuk diriku. Aku gagahi juga membuka e-melku untuk melihat isi kandungannya. Jujur aku katakan, aku jarang-jarang membaca e-mel sehinggalah hari itu aku terpaksa mengingati kembali passwood e-melku. Apabila e-mel dibuka, aku menerima banyak e-mel daripada Zai, rakan baikku itu. Setiap e-mel yang ditulis kepadaku semuanya membicarakan soal kematian dan pengakhiran. Aku tersandar lemah di atas kerusi apabila membaca kesemua e-mel yang ditulis sebelum Zai pergi meninggalkan diriku.

            “Mai sahabatku, aku tahu kau tentunya sudah mengerti mengapa aku menitipkan catatan ini kepada dirimu. Kalau aku sudah tiada nanti, kau sedekahkan al-Fatihah di kuburanku. Aku tidak mahu kau terus-menerus mengingatiku. Aku mahu kau sentiasa mendoakan aku di alam sana. Mai, sebenarnya aku tidak mati tetapi kematianku itu adalah pasti. Mati pada tubuh tetapi pada dirimu aku akan sentiasa hidup untuk dirimu. Buatlah seberapa banyak amalan untuk bekalanmu nanti. Aku juga mahu menumpang setiap perbuatan baikmu di dunia ini. Mai sahabatku, detik itu pasti akan tiba tetapi aku tidak tahu bila ianya akan terjadi. Sesungguhnya hanya Allah sahaja yang mengetahui segala-galanya.”

            “Mai, jangan kau marahkan aku. Aku tahu kau sedang mencari makna tersirat di sebalik permintaanku. Aku mahu kau belajar dan menguruskan jenazah muslimah seperti diriku. Aku mahu kau menabur amalan mulia untuk membantu golongan yang tidak berkemampuan menguruskan pengkebumian nanti. Kau tidak perlu bersusah-payah menjadi penggali kubur untuk mencari seberapa banyak pahala. Cukuplah kau belajar memandikan jenazah mereka kerana itu sahajalah caranya kau akan sentiasa mengingati saat-saat kematian.”

            Saat itu barulah aku sedari mengapa Zai meminta aku untuk menguruskan jenazahnya. Dia mahu aku belajar menghargai mati. Dia mahu aku membantunya menggumpulkan seberapa banyak amalan dengan cara menguruskan jenazah. Aku kini lebih mengerti dan tahu tentang tujuan dan niat hidupku di muka bumi ini. Dan apabila tibanya detik itu, aku pasti menyusul dirimu, Zai!