Sukar untuk menjangka magis yang akan dibawakan dua kumpulan hebat ini, namun apa yang pasti tiada siapa yang akan kecewa memandangkan nama mereka bukan calang-calang dalam industri kita.

Merupakan idea kumpulan Wings sendiri untuk melihat mereka disatukan dengan kumpulan muzik yang lebih muda, kongsi vokalisnya, Datuk Awie, konsert ini juga sebagai permulaan untuk sambutan 35 tahun Wings.

“Melalui sambutan 35 tahun Wings kami sudah merancang mengadakan ‘Journey To 2020’ atau ‘Journey to 35th Years Anniversary’ dan akan muncul dengan beberapa rangkaian konsert di seluruh negara.

“Permulaan konsert ini kami pilih untuk bekerjasama dengan Bunkface, tetapi semuanya kumpulan muzik yang lebih muda. Sudah ada dalam senarai, antaranya Masdo, Khalifah dan beberapa lagi,” katanya.

Melihat gabungan dua generasi berbeza di atas pentas ini sebagai sesuatu yang unik, kongsi Awie, beliau tidak melihat ada masalah untuk peminat menerima muzik yang akan disampaikan pada malam itu.

“Saya melihat pertembungan antara Wings dan Bunkface sebagai sesuatu yang baharu, bagaimana kumpulan Wings akan bersaing dengan tenaga Bunkface dan Bunkface menyaingi pengalaman yang ada pada kumpulan Wings.

“Kami sendiri sangat teruja sebenarnya untuk konsert ini. Apa yang akan berlaku di atas pentas nanti masih dalam perbincangan dan memang ada idea untuk kami menyanyikan lagu Bunkface juga,” katanya.

Sementara itu, memilih untuk menjual tiket secara manual tanpa menggunakan ejen, kongsi Awie, kali ini beliau lebih senang sekiranya hal penjualan tiket diuruskan sendiri oleh pihaknya tanpa melibatkan orang ketiga.

“Selepas tiga kali ditipu, saya ambil pendekatan untuk jual tiket secara manual. “Lebih berbaloi melalui cara ini sebab dapat dipantau sendiri. Sebelum ini menggunakan khidmat ejen bukan sahaja jumlah penonton dan tiket tidak seimbang, malah terdapat juga penjualan tiket palsu.

“Tiket akan dijual melalui Sayap-Sayap Wings dan kami akan berada di beberapa lokasi seluruh Malaysia. Selepas membayar harga tiket, penonton akan diberi resit dan tiket boleh ditebus bermula pada 1 Mei ini,” jelasnya lagi.

Bunkface teruja

Mengakui teruja, Bunkface menerima tawaran untuk beraksi di atas pentas yang sama dengan kumpulan legenda Wings kerana ia ibarat impian jadi kenyataan. 

Tidak meletakkan apa-apa jangkaan untuk konsert ini, tentunya Bunkface yang dianggotai Sam selaku vokalis, Youk (bass) dan Paan (gitar) mahu memberikan persembahan yang terbaik buat peminat mereka nanti.

“Wings merupakan band rock legenda. Mana-mana band yang diberi peluang seperti ini pasti tidak akan menolaknya. Sebab itu bila ditawarkan untuk konsert ini kami tidak berfikir panjang.

“Kami juga melihat kerjasama dua generasi ini mampu memartabatkan muzik rock tempatan.

Kedua-dua band akan memberi persembahan secara seimbang, jadi tidak akan timbul isu Wings atau Bunkface yang lebih menonjol ketika persembahan,” kongsi Sam.

Dilihat sebagai antara kumpulan muzik yang cukup kuat kini selepas hampir 13 tahun berada di dalam industri, ternyata tiga anak muda ini sentiasa menghormati pengalaman yang ada pada kumpulan Wings. Malah mereka juga yakin sukar untuk menandingi kelebihan yang dimiliki kumpulan rock ini.

“Kita kena tahu tahap Wings dan Bunkface berbeza dan tidak boleh disamakan. Mereka sudah hampir 35 tahun dalam industri manakala Bunkface baru berusia 13 tahun.

“Saya pasti akan ada jurang dalam konsert nanti, tetapi kami sedaya upaya akan memberi persembahan terbaik. Konsert ini bukan konsert pertarungan, apa yang pasti banyak yang akan dapat kami belajar sepanjang ia berlangsung nanti,” jelasnya.

Sementara itu harga tiket untuk Konsert Laksamana Metal 2019 Dua Generasi, Wings x Bunkface bermula RM150 sehingga RM450. Tiket-tiket boleh didapati melalui ejen Sayap-sayap Wings dan penebusan tiket akan dilakukan bermula 1 Mei ini.