Secara tidak langsung, rasa ketakutan muncul dalam jiwa pada saat kali pertama bertentang mata dengan individu tidak dikenalinya itu. Berani sungguh dia memunculkan kelibat diri di hadapan pelakon ini tanpa rasa bersalah.

Kalau selama ini, dia boleh bertahan dengan perangai lelaki tersebut yang kerap mengganggu hidupnya dengan kata-kata cinta, lucah dan ugutan yang dibuat bertujuan untuk merebut cintanya. Semua itu tidak pernah dihiraukan.

Namun kali ini pelakon drama Alamatnya Cinta ini tidak boleh bersabar lagi. Dia perlu bertindak segera kerana merasakan keselamatannya terganggu dengan kehadiran lelaki berkenaan.

“Lelaki ‘gila’ itu menyamar dan menggunakan pelbagai helah untuk berjumpa dalam majlis yang saya hadiri. Saya pun tak perasan tapi apabila dia memperkenalkan diri, terus darah naik ke kepala.

“Saya terus mengadu ke­pa­­da pengurus sebelum pihak keselamatan bertindak menahannya,” kata Hannah sambil mengimbas episod ngeri yang pertama kali terjadi dalam hidupnya itu.

Satu laporan polis dibuat selepas kejadian yang berlaku di pusat beli-belah di Selangor itu. Bintang filem Langsuir ini juga berharap agar isu membabitkan keselamatan diri itu dapat diatasi segera.

Kini, lelaki psiko yang kerap kali mengganggu hidupnya selama ini sudah tidak muncul lagi. Syukurlah penderitaan yang sedang dialaminya itu berakhir dengan campur tangan pihak berkuasa.

“Kita tak boleh nak menjang­kakan tindak tanduk golongan psiko sebegini. Mereka ada misi tersendiri dan akan bersungguh-sungguh untuk mendapatkan apa yang diinginkan.

“Dia berjaya menakutkan hidup saya dengan ancaman dan ugutan hingga mengucar-ngacirkan hidup saya sebelum ini. Tetapi dia lupa yang Malaysia adalah negara yang mempunyai sistem perundangan tersendiri,” ujarnya.

 

SAYA PENYANYILAH!

SELEPAS tiga tahun bertapak dalam industri hiburan, masih ada yang tidak mengetahui yang Hannah juga seorang penyanyi di negara kelahirannya, Singapura sebelum ini.

Dia pernah menganggotai kumpulan duo Delisha bersama adiknya, Mia sebelum ini. Antara lagu yang pernah dirakamkan Hannah adalah Anugerah, Hana dan Tak Perlu Kata Apa-Apa sewaktu bergelar penyanyi solo pula.

“Ramai yang tak tahu saya memulakan kerjaya seni dalam bidang nyanyian terlebih dahulu sebelum lakonan. Tapi saya tak boleh salahkan mereka sebab ada yang tak tahu tentang permulaan kerjaya saya ini.

“Ada juga peminat yang keliru saya ini seorang penyanyi atau pelakon. Lucu jugalah ada yang baru tahu saya ini penyanyi,” ujarnya.

Bagaimanapun Hannah tidak boleh menyalahkan siapa-siapa kerana gadis kelahiran Singapura ini memulakan kerjaya lakonan sewaktu mula bertapak di Malaysia.

Terkini, Hannah bakal muncul dengan sebuah lagu terbaru menerusi syarikat rakamannya, Faithful Music milik penyanyi Faizal Tahir.

KAWAL

SUSULAN daripada peristiwa diburu peminat fanatik itu juga membuatkan dia berjaga-jaga mengawal kandungan yang dimuat naik dalam laman sosial. Dia tidak mahu ada pihak yang mengambil kesempatan dalam hal itu.

Pelakon drama Mencintaimu Mr. Photographer ini juga mengambil banyak pengajaran selepas kejadian itu. Yang pasti dia enggan menjadi mangsa kepada kecanggihan teknologi canggih masa kini.

“Biarlah orang nak kata saya pengguna laman sosial yang tidak aktif, tak banyak letak gambar cantik dan kemas kini maklumat harian dalam platform itu. Saya tidak kisah.

“Prinsip saya mudah dalam hal ini. Kalau tak membabitkan urusan kerja, saya tidak akan memuat naik apa-apa di situ. Juga kena kurangkan gambar berswafoto dan aksi pelik-pelik,” katanya.

Hannah juga bimbang jika gambar yang dimuat naik itu disunting pihak tidak bertanggungjawab. Lebih ditakuti jika ia digunakan di jalan yang salah hingga memudaratkan maruah diri kelak.

RUMAHKU SYURGAKU

Kalau tak terlibat dengan penggambaran drama atau aktiviti seni, Hannah buat apa?

Hannah: Saya duduk di rumah sahaja. Buatlah apa-apa kerja seperti mengemas rumah atau apa saja asalkan tak keluar rumah. Saya memang suka memerap di rumah berbanding melepak di luar rumah.

Tak bosan ke? Selalunya anak muda seperti Hannah gemarkan aktiviti di luar rumah. Tak pun berjumpa kawan-kawan sambil minum di kedai mamak?

Hannah: Mana ada bosan, saya okey sahaja. Saya boleh duduk seharian di rumah tanpa keluar kalau tak ada hal penting. Makan apa yang ada di dapur itu. Konsep saya, rumahku syurgaku. Banyak nikmat duduk di rumah.

Adakah kehidupan Hannah itu membosankan?

Hannah: Boleh dikatakan juga. Barangkali sebab saya anak tunggal dalam keluarga. Masa di Singapura dulu, saya memang suka duduk di rumah dan apabila berhijrah ke Malaysia, saya masih begitu.