Selain perlu menyesuaikan jalan cerita dengan keadaan semasa pastinya pemilihan pelakon yang benar-benar berkualiti juga perlu diambil kira bagi menarik minat khalayak.

Mengambil kira segala aspek dan ketelitian sudah menjadi ‘peraturan’ kebanyakan syarikat penerbitan drama tempatan.

Tidak terkecuali formula ini turut diguna pakai oleh Suhan Movie & Trading Sdn. Bhd. dalam setiap pembikinan drama bersiri dan telefilem terbitan mereka.

Melalui penerbitan drama bersiri Alif Imani yang bakal bersiaran 16 Oktober depan di TV9, pastinya soal kualiti menjadi keutamaan penerbit bagi menghasilkan sebuah karya.

Bagi Keoi Haji Khalid yang dipertanggungjawabkan mengarah drama bersiri 14 episod ini, dia yakin Alif Imani bakal menjadi fenomena tatkala ditayangkan nanti.

“Sebenarnya agak lama saya tidak mengarahkan kisah yang penuh emosi begini. Bagi saya itu bukan masalah yang besar memandangkan kebanyakan pelakon yang terlibat popular dan profesional.

“Bagi saya mereka tahu yang perlu dilakukan dan tugas saya sebagai pengarah hanyalah ‘mencantikkan’ lagi karektor masing-masing mengikut skrip,” ungkap Keoi membuka bicara.

Jelas pengarah yang sudah berpengalaman belasan tahun dalam dunia pengarahan ini, pastinya dia tidak pernah berkompromi dalam aspek kualiti memandangkan itu merupakan kayu pengukur bagi sesebuah produksi.

Dia bersyukur kerana setiap pelakon tahu yang perlu dilakukan dan itu memudahkan banyak perkara ketika penggambaran dilakukan sepanjang 45 hari.

Antara pelakon yang terlibat dalam Alif Imani termasuk Ummi Nazeera, Fezrul Khan, Fasha Sandha, Amar Baharin, Raja Ema, Fazlina Ahmad Daud dan Emma Akma.

“Meskipun ini merupakan kali pertama saya bekerjasama dengan Ummi Nazeera tapi dia matang dan tahu tanggungjawabnya.

“Tentang Fasha pula, semua orang tahu dia merupakan pelakon yang hebat dan saya pernah bekerjasama dengannya sebelum ini lagi. Tiada masalah untuk mengarahkannya.

“Saya yakin gandingan kesemua pelakon ini akan memberikan impak besar kepada penonton nanti.

"Cerita yang penuh emosi ini akan menjadi tarikan kepada semua,” jelasnya lagi.

Cabaran

Mengulas mengenai cabaran pula, Keoi tidak menafikan dia begitu mengambil berat soal ekspresi wajah mengikut kesesuaian babak memandangkan Alif Imani merupakan naskhah yang berat.

Baginya dia sentiasa berwaspada setiap kali memulakan penggambaran kerana itu merupakan salah satu elemen yang penting bagi menzahirkan naskhah ini.

“Bukan saya tidak yakin dengan kemampuan mereka membawakan watak masing-masing tetapi soal ekspresi wajah amat penting bagi memberikan kesan kepada penonton.

“Ini naskhah melodrama dan mempunyai jalan cerita yang berat. Jadi soal itu perlu diambil berat bagi memberikan impak kepada penonton selain pemilihan pakaian yang sesuai,” tambahnya lagi.

Menjalani penggambaran di sekitar Kuala Lumpur dan Kuantan, Pahang bulan lalu, Alif Imani berkisah tentang Nur Imani lakonan Ummi Nazeera yang merupakan anak yatim piatu.

Dia yang merupakan adik angkat dan dipelihara oleh keluarga Mahsuri (Fasha Sandha) serta suaminya Alif (Fezrul Khan) mula ditimpa masalah apabila berhadapan dengan situasi genting beberapa tahun kemudian.

Imani ‘ditangkap khalwat’ dengan Alif dalam satu insiden yang tidak disengajakan dan menyebabkan ada desakan untuk mereka bernikah.

Sebagai isteri, Mahsuri reda dengan perkara yang berlaku. Dia sendiri tidak pernah menghalang perkahwinan tersebut dan mempunyai sebab berbuat demikian.

Pun begitu Alif menghadapi masalah besar untuk menerima Imani dan akhirnya menghalau wanita berkenaan. Imani menghadapi masalah apabila bertemu dengan Rafiq (Amar Baharin) yang jatuh cinta kepadanya.

Satu persatu konflik muncul sehingga membuka beberapa rahsia mengapa Mahsuri reda dengan pernikahan suaminya itu.