Dengan sekali lafaz, pasangan itu dinikahkan bapa pengantin perempuan, Nik Sen Mat Rifin dan disaksikan Imam Masjid Jamek Kampung Baru, Azizi Abd Hamid dalam satu majlis tertutup diadakan di sebuah hotel terkemuka tanah air.

Terdahulu, pasangan ini juga melangsungkan pertunangan sebagai syarat sebelum meneruskan upacara pernikahan di depan lebih 200 orang tetamu dan kenalan terdekat.

Pada majlis itu, pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin RM10,000 bersama sembilan dulang hantaran berbalas 11. Bagaimanapun, wang hantaran tidak dinyatakan.

Anggun mengenakan persalinan rona putih gading rekaan Ezuwan Ismail, Nelydia atau nama lengkapnya Nik Zaris Nelydia Nik Sen bersyukur segala yang dirancang dalam tempoh singkat sejak awal tahun ini berjalan lancar.

“Alhamdulillah impian, niat serta hajat yang saya harapkan selama ini dipermudahkan.

“Doa saya di Tanah Suci Makkah serta apa yang dihajati juga Allah makbulkan serta beri jawapan pasti termasuk hal jodoh. Semoga permulaan fasa ini akan terus mematangkan saya dan dia,. Insya-Allah,” katanya.

Berkongsi detik perkenalan, pasangan ini bersua buat kali pertama pada 6 April 2017.

Hafez kemudiannya terbang ke Amsterdam untuk memberi kejutan sekaligus melamar Nelydia pada April 2018

Ketika itu pelakon yang juga adik kepada Uqasha Senrose ini sedang bercuti di Eropah.

Mengenai Hafez, pelakon Lafazkan Kalimah Cintamu ini menyifatkan suaminya seorang yang melengkapi dan menenangkan hati.

Esok pasangan ini diraikan pada sebelah malam juga di sebuah hotel di Kuala Lumpur. - UTUSAN ONLINE