Di kala ini, mungkin nama Kashmir Stone tidak popular dalam kalangan generasi muda. Namun, tahukah anda kumpulan rock yang dianggotai oleh tiga lelaki India ini punya pengaruh dan kelas tersendiri suatu ketika dahulu.

Namun, resam perjalanan anak seni tidak selamanya mereka akan berada di atas. Adakala komitmen dan tanggungjawab meneruskan hidup menjadikan mereka terpaksa melupakan sebentar dunia glamor yang bukan mudah untuk dikecapi.

Tampil semula memeriahkan industri dengan lagu baharu, Road Tilley, Kashmir Stone kini berani menongkah arus. Mereka punya strategi sendiri mahu meraih perhatian dan mencuri hati peminat selepas 15 tahun mendiamkan diri.

Kembali dengan dua anggota baharu, Mustafal Bakri Ismail (gitaris) dan Aznizam Johari (dram) serta mengekalkan vokalis terdahulu, John Guna, mereka yakin pintu industri terbuka luas untuk mengangkat sauh dan terus belayar merentasi lautan seni.

“Sebenarnya saya sudah terfikir untuk bersara dari industri. Saya pun lama berhijrah ke luar negara, namun ramai peminat yang meluahkan hasrat dan rindu untuk melihat saya kembali ke industri.

“Yalah, usia pun bukan muda. Sekarang pendatang baharu hadir silih berganti. Namun, saya bersyukur kerana masih ada peminat yang tetap mahu mendengar muzik Kahsmir Stone. Mereka tidak pernah lupa kami selama 15 tahun menyepi.

“Setiap kali persembahan, pasti soalan tentang album dan lagu baharu akan ditanya. Jadi saya rasa, inilah masa terbaik untuk membalas sokongan mereka,” kata John Guna ketika ditemui sewaktu penggambaran muzik video Road Tilley di Klang baru-baru ini.

Bukan sahaja single baharu, Kashmir Stone mengambil langkah berani dengan menerbitkan sebuah album penuh. Di kala industri ketandusan album, kumpulan rock sezaman dengan Wings dan Search ini membariskan 10 lagu baharu dalam album tersebut.

““Memang album bukan trend penyanyi sekarang dan satu percubaan berani khususnya untuk kumpulan rock seperti Kashmir Stone yang sudah 15 tahun menyepi. Tapi saya rasa, kita perlu berani ambil risiko. Promosi dan strategi pemasaran perlu bijak disusun.

“Kami tampil dengan single pertama, Road Tilley yang saya yakin mampu mencuri hati peminat khususnya masyarakat India. Selepas ini kita akan mula mempromosikan lagu Melayu pula untuk menembusi pasaran muzik Melayu,” kata John Guna yang berhijrah ke United Kingdom selama lebih lima tahun.

Dalam album baharu tersebut, Kashmir Stone turut membariskan dua lagu Melayu baharu, Janda Idaman dan Terima Kasih sebagai usaha untuk menembusi pasaran muzik Melayu.

Konsep santai video muzik

Berpanas demi sebuah video muzik bukan perkara baharu bagi seorang penyanyi. Apatah lagi jika konsep dan jalan cerita video tersebut memerlukan pengorbanan dan komitmen tinggi.

Berbicara soal video muzik Road Tilley, produsernya, Irwan Shaiful Hisham berkata, lagu tersebut berkisahkan tentang sikap pemandu tidak bertanggungjawab di atas jalan raya dan konsep kepolisan serta kemasyarakatan cukup kena dengan jalan cerita lagu tersebut.

“Kami menggunakan lebih 17 orang untuk menghasilkan muzik video ini dan memilih latar belakang kampung Orang Asli di Kampung Bambun, Klang sebagai lokasi. Kita mahukan suasana perkampungan India dan konsep kepolisan menjadi pilihan.

“Kami mengambil masa dua hari untuk menyiapkan muzik video ini,” katanya.

Tidak ada isu anggota lama

Kembali mewarnai dunia muzik dengan dua anggota baharu, pasti ada suara-suara yang bertanya ke mana perginya dua anggota asal Kashmir Stone? Apakah ada isu di sebalik penggantian yang berlaku?

Menjawab spekulasi itu, John Guna atau nama sebenarnya, T. Gunabalan berkata, kedua-dua anggota lama sudah tidak mahu lagi meneruskan kerjaya sebagai anak seni dan lebih selesa untuk bekerja sendiri.

Malah, dia juga pernah sahaja terfikir untuk mengikut jejak mereka, namun minat mendalam terhadap dunia muzik membantutkan langkah. Dia mahu terus menabur budi seni kepada peminat semua.

“Tidak ada isu apa-apa. Sebenarnya sudah lama saya tidak berhubung dengan mereka pun. Masing-masing sudah meneruskan hidup sejak 15 tahun dahulu. Jadi memang tidak timbul rasa tidak puas hati atau apa-apa.

“Saya juga bebas untuk menyanyikan lagu-lagu lama yang popular dahulu. Baik saya fokus dengan perjalanan Kashmir Stone sekarang,” katanya yang cukup popular dengan lagu Setiap Malam.