Penerbit prolifik itu juga menangkis tanggapan sesetengah peminat drama tempatan yang mendakwa peneraju utama drama Hello Mr. Perfect, Fattah Amin dan Nur Ruhainies Farehah berlakon seperti kayu dan tidak mampu menjiwai watak yang diberi.

Tegas Aida bukanlah kuasanya 100 peratus untuk menentukan siapa hero dan heroin yang bakal berlakon di dalam drama episod atau telefilem keluaran syarikatnya kerana keputusan itu diambil bersama stesen televisyen.

“Sebagai penerbit, saya berhak menyenaraikan siapa pelakon yang bakal berlakon dalam drama atau telefilem terbitan syarikat saya. Namun pemilihan itu juga kemudiannya akan dirujuk dengan pihak stesen televisyen dan selalunya kata putus adalah daripada mereka.

“Saya tidak melihat itu sebagai satu masalah kerana pada saya mungkin pihak stesen ada strategi tersendiri. Lagipun di Malaysia ni kita ada ramai bakat baharu yang berkebolehan dan inilah masanya untuk kita ketengahkan bakat mereka. Tambahan pula slot Akasia memang ramai pengikut dan secara tidak langsung dapat membantu artis baharu mencipta nama dalam bidang lakonan,” jelasnya.

Dia yang sentiasa berfikiran positif itu berkata, sebelum ini formula yang diguna pakai membuktikan pelakon baharu juga mampu mencetus fenomena apabila drama tersebut disiarkan di slot Akasia.

“Lihat saja drama Love You Mr. Arrogant, lakonan Azlee Khairi dan Zara Zya. Sebelum ini nama mereka tidak begitu menonjol dan selepas drama itu, nama mereka terus menjadi pujaan. Itu membuktikan yang pelakon baharu boleh memberi impak besar jika jalan cerita yang ditonjol bagus.

“Penggunaan wajah-wajah baharu dalam drama adalah untuk mengelak penonton bosan dengan lakonan yang sama. Macam Ruhainies, sebelum saya beri dia watak utama, terlebih dahulu saya bagi dia peluang dalam drama Si Montel untuk beberapa episod. Ternyata saya puas hati dengan lakonannya dan apabila pihak stesen mencadangkan nama dia saya tidak menolak,” jelasnya.

Tambahnya, dia melihat Ruhainies yang melakonkan watak Alya Adriana dan Nurul Ain berjaya menghidupkan kedua-dua watak itu dengan berkesan sebagai orang baharu dalam bidang lakonan.

Dalam pada itu, A.Aida berkata, biarpun peneraju utama Hello Mr. Perfect, orang baharu namun perjalanan drama 28 episod berkenaan tetap disokong oleh barisan pelakon ternama antaranya, Datuk Eizlan Yusof, Fiza Halim, Mimi Ernida dan Ammar Alfian.

“Saya memang tidak kisah menggunakan banyak wang untuk mendapatkan pelakon ternama jika itu yang diperlukan. Saya ni jenis yang tidak berkira kalau untuk kebaikan produk. Sebenarnya dalam menerbitkan drama bersiri atau telefilem, keuntungan yang diperoleh tidaklah banyak mana, sekadar balik modal sahaja.

“Kiranya saya ini bernasib baik sebab ada peralatan sendiri dan dari situ sudah mengurangkan kos berbanding penerbit lain. Saya mencintai kerjaya ini dan sebab itulah setiap produk yang dihasil, saya akan pastikan semuanya memenuhi piawai pihak stesen,” katanya bersungguh-sungguh.

Ketika Aida leka bercerita tentang produksinya, Hits juga sempat bertanya kerana di kalangan peminat ada yang berkata, terdapat persamaan lokasi antara cerita Bukan Isteri Sempurna dengan Hello Mr. Perfect.

Menjelaskan keadaan itu, kata Aida, tidak wujud penggunaan lokasi yang sama kerana kedua-dua produk itu menggunakan perkhidmatan pengurus produksi yang berbeza.

Kali pertama cipta lagu

Selain menggunakan lokasi yang berbeza untuk drama-drama terbitannya, Aida juga mempunyai penanda aras sendiri dalam menerbitkan drama. Kebanyakan drama berepisod keluaran A. Aida Production sering menonjolkan lagu tema yang mudah diterima ramai.

Kalau sebelum ini Aida sering bekerjasama dengan komposer Eddie Hamid dalam menghasilkan lagu untuk dijadikan lagu tema sesebuah drama, kini tugas itu dipikul sendirian.

“Sejak dulu saya memang sering bekerjasama dengan Eddie. Dia cipta lagu, saya tulis lirik, tapi untuk lagu Sorry Sorry Sayangku, saya yang cipta dan tulis lirik sendiri, sementara Nomad pula menyanyikannya. Sebenarnya niat nak cipta lagu itu sudah lama, cuma berkesempatan apabila saya mendapat tunjuk ajar daripada Sabhi Saddi yang mendendangkan lagu Tiada Lagi Cinta untuk lagu latar drama Bukan Isteri Sempurna.

“Bila dia ajar sedikit sebanyak, barulah saya yakin untuk mengetengahkan lagu ciptaan saya dan lahirlah lagu Sorry Sorry Sayangku. Saya pilih Nomad sebagai penyanyi lagu itu sebab saya minat dengan suaranya yang serak-serak itu. Sudah menjadi tabiat saya kalau buat drama, seboleh mungkin saya akan hasilkan lagu tema untuk drama itu. Insya-Allah di masa akan datang lebih banyak lagi lagu ciptaan saya diketengahkan,” katanya tersenyum.

Biarpun Sorry Sorry Sayangku merupakan lagu pertama ciptaan Aida, namun sebelum ini dia sudah menghasilkan beberapa lirik lagu, antaranya, Halimah Jongang, Fatimah Juling dan Muah! dendangan Suzanne Bratigam.

Bagi merealisasikan impiannya sebagai penggubah lagu dan penulis lirik, Aida bercadang untuk bergabung dengan Eddie menghasilkan album.

“Tunggulah saya cadang nak keluarkan album kompilasi yang menampilkan koleksi lagu-lagu ciptaan Eddie dan lirik ciptaan saya,” katanya.