PENGASAS Event Wedding (EW) & Catering, Fitry Mustafa
PENGASAS Event Wedding (EW) & Catering, Fitry Mustafa 

Kejadian seperti itu menyebabkan mereka yang terkena bukan sahaja menanggung kerugian tetapi juga mendapat malu apabila majlis persandingan yang diinginkan, bertukar dan tidak seperti yang diharapkan.

Bagi menyakinkan orang ramai bahawa syarikat pengurusan majlis, Event Wedding & Catering (EW) yang diuruskan oleh Fitry Mustafa mampu menepati citarasa dan kehendak pelanggan, pengalaman selama 15 tahun dalam bidang katering dan sajian makanan untuk majlis-majlis perkahwinan menjadi sandaran.

Walaupun pengurusan majlis perkahwinan sejak kebelakangan ini tumbuh macam cendawan, EW bukan sahaja bersedia untuk bersaing tetapi juga mempunyai kekuatan untuk tampil sebagai event space yang menguruskan majlis-majlis perkahwinan yang boleh dipercayai.

Menurut Pengasas EW, Fitry, beliau yakin dapat mengembalikan kepercayaan masyarakat untuk menggunakan khidmat pengurus majlis perkahwinan dan katering apabila mereka bekerjasama dengan I-City Convention Centre, Shah Alam, Selangor yang memulakan operasinya tahun ini.

"Tidak dinafikan kejadian seperti ini memang berlaku yang mana pihak pengurusan majlis perkahwinan dan katering menipu klien-klien atau pelanggan-pelanggan mereka.

"Bagi saya, apabila kita diberikan amanah untuk menjalankan sebuah majlis perkahwinan, kita harus jujur dan berpegang kepada amanah itu.

"Ini kerana bukan sahaja pasangan pengantin baharu yang mahu majlis mereka berjalan lancar dan sempurna tetapi ibu bapa kepada kedua-dua mempelai juga mahu melihat majlis persandingan atau resepsi anak-anak mereka memahat memori indah dalam kehidupan," katanya usai majlis pembukaan EW Grand Hall di I-City Convention Centre, Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Menurut Fitry, pengurusan EW yakin dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada orang ramai, apa tah lagi selepas berbincang untuk bekerjasama dengan pihak I-City Convention Centre Shah Alam.

EW

PELAMIN dan busana pengantin turut dimasukkan di dalam tiga pakej EW & Catering diperagakan kepada tetamu jemputan pada majlis pembukaan EW Grand Hall di I-City Convention Centre, Shah Alam, Selangor. - UTUSAN ONLINE/HASNURUL MOHAMED

"Saya bermula dengan DeLaman Event Space pada penghujung tahun 2016 di kilang tiga tingkat yan terletak di Bukit Jelutong, Shah Alam yang bukan sahaja menguruskan majlis perkahwinan termasuk menyediakan tempat untuk diadakan majlis resepsi.

"Selepas tiga tahun beroperasi dengan rakan konsi, Farahana Domman, DeLaman Event Space berkembang dan menjadi sebuah empire yang fokus kepada penganjuran dan pengurusan majlis perkahwinan," kata Fitry.

Beliau berkata, keberaniannya untuk mengendalikan EW Grand Hall di I-City Convention Centre di Shah Alam ini banyak didorong oleh keluarga yang sememangnya menceburi bidang katering.

EW

MAKANAN yang disediakan oleh EW & Catering yang dimasukkan di dalam pakej pengurusan majlis perkahwinan yang ditawarkan kepada bakal pengantin. - UTUSAN ONLINE/HASNURUL MOHAMED

Oleh itu, ujar Fitry, apabila EW mengadakan usahasama dengan I-City Convention Centre, ia membuka ruang dan peluang bagi nya untuk melangkah lebih jauh dalam industri pengurusan majlis yang bukan sahaja untuk majlis perkahwinan atau persandingan tetapi juga majlis-majlis korporat.

"Kapasiti di Grand Hall I-City Convention Centre Shah Alam ini boleh memuatkan 1,000 orang serentak dan EW menawarkan tiga pakej menarik untuk memenuhi bajet pelanggan khususnya yang ingin mengadakan majlis persandingan mereka di sini.

"Apabila kita beroperasi di I-City Convention Centre, itu tidak bermakna DeLaman Event Space menghentikan operasinya. Kita masih teruskan.

"Cuma, orang ramai mempunyai pilihan sama ada mahu mengadakan majlis di Bukit Jelutong yang kapasitinya mampu memuatkan 700 orang serentak atau pun di Grand Hall I-City Convention Centre Shah Alam yang lebih luas," jelasnya.

Di EW Grand Hall I-City Convention Centre ini, kata Fitry, mereka menawarkan pakej basic, standard dan eksklusif yang bermula dari RM31,000 sehingga RM40,000.

"Di dalam pakej-pakej yang ditawarkan, EW Grand Hall bekerjasama dengan 13 penaja termasuk tiga butik pengantin ," ujarnya.

Katanya lagi, pihaknya sudah pun mula menerima tempahan majlis perkahwinan dan permintaan akan terus meningkat sejurus sebuah pusat membeli belah siap dibina di kawasan berdekatan dengan I-City Convention Centre, Shah Alam pada Mac ini.

"Apabila pusat membeli belah itu siap, selain daripada menerima tempahan untuk majlis perkahwinan dan persandingan, pihak kami juga bersedia untuk menerima tempahan majlis-majlis korporat," katanya. - UTUSAN ONLINE