Pengerusi AmanahRaya, Datuk Mohd. Nasir Ali berkata, untuk itu, langkah kumpulan melakukan transformasi pengiklanan digital dilihat mampu menjangkau sasaran yang lebih meluas dalam mendidik masyarakat Malaysia mengenai kepentingan penulisan wasiat, pengurusan amanah dan pentadbiran pusaka.

Katanya, biarpun hampir 100 tahun AmanahRaya ditubuhkan, masih terdapat salah faham terhadap tugas dan peranan AmanahRaya yang sebelum ini dianggap hanya terhad kepada kaum ter­tentu.

“Menerusi pengiklanan digital ini, ia akan membantu kumpulan untuk memperbetulkan maklumat yang tidak tepat mengenai AmanahRaya.

“Ia juga adalah sebagai satu daripada kaedah untuk memantapkan pengetahuan pelanggan mengenai produk dan perkhidmatan AmanahRaya,” katanya pada majlis pelancaran panel skrin LED elektronik di Wisma AmanahRaya di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan AmanahRaya, Adenan Md. Yusof.

AmanahRaya melancarkan transformasi pengiklanan digital sebagai satu daripada usaha untuk mengukuhkan jenamanya.

Transformasi berkenaan adalah untuk memastikan institusi pemegang amanah itu terus kekal mapan, fleksibel dan berorientasikan pelanggan.

Sementara itu, Adenan berkata, AmanahRaya menyasarkan untuk membuka dua buah cawangan baharu di Teluk Intan, Perak dan Putrajaya pada tahun ini.

Katanya, ketika ini AmanahRaya mempunyai 20 cawangan di seluruh negara dan pihaknya akan mempertimbangkan pemasangan panel skrin LED elektro­nik di cawangan-cawangan yang strategik pada masa akan datang.