Pengurus Besar Legoland Malaysia Resort, Kurt Stocks berkata, buat masa ini pengunjung utama ke taman tema berkenaan adalah rakyat Malaysia diikuti oleh Singapura berikutan lokasi Legoland yang berdekatan dengan republik itu.

Katanya, selain itu pelancong dari China, Australia, Taiwan, Thailand, Filipina dan Korea Selatan antara pengunjung Legoland Malaysia Resort.

“Kami yakin dengan tarikan baharu, Sea Life Malaysia yang bakal dibuka April ini dan Hotel Legoland dinaik taraf akan menarik lebih ramai pengunjung.

“Legoland Malaysia juga merupakan taman tema pertama di dunia yang bakal menyediakan pengalaman Ninjago yang holistik,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Sea Life Malaysia adalah akuarium interaktif yang dipenuhi 13,000 kehidupan laut daripada 120 spesis berserta dengan elemen Lego yang unik, akan membantu memacu industri pelancongan di Johor.

Pada tahun ini, Legoland Malaysia Resort menawarkan satu pas tahunan pada harga tiket untuk sehari untuk pemegang MyKad terdiri daripada pas Single-Park dan pas Triple-Park.

Harga bagi pas Single-Park adalah RM219 untuk dewasa dan RM175 (kanak-kanak) sementara pas Triple-Park berharga RM263 (dewasa) dan RM209 (kanak-kanak).

Pemegang MyKad boleh menikmati akses tanpa had ke Taman Tema Legoland dan Taman Air, selain akses percuma ke Sea Life Malaysia.

Pada 2018, Legoland yang mempunyai operasi di lapan negara merekodkan sebanyak 15 juta orang pengunjung. - UTUSAN ONLINE