Menurut jurucakap BHB, subsidiari milik penuh, Boustead Hotels & Resorts Sdn. Bhd., menerima tawaran itu.

Katanya, buat masa ini terdapat dua hotel Royale Chulan di Kuala Lumpur iaitu Royale Chulan Bukit Bintang dan Royale Chulan Kuala Lumpur, kedua-duanya amat berdekatan dan bersaing antara satu sama lain.

“Oleh itu, kumpulan telah memutuskan untuk mengukuh dan memberi tumpuan kepada hanya satu hotel iaitu Royale Chulan Kuala Lumpur bagi menguasai pasaran ibu negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelasnya lagi, Royale Chulan Bukit Bintang menawarkan prospek yang baik, memandangkan lokasinya yang strategik di satu daripada kawasan pelancongan utama dan zon perhotelan di pusat bandar Kuala Lumpur.

“Melihat kepada harga tawaran yang menarik ini, kami berpendapat bahawa ini adalah masa yang sesuai untuk melupuskan hotel tersebut. Pertimbangan jualan dibuat secara sukarela antara pembeli dan penjual.

“Hotel Royal Limited diberikan tempoh eksklusif tempoh selama satu bulan untuk membuat penilaian ke atas Royale Chulan Bukit Bintang, dan pelaksanaan perjanjian jual beli akan dibuat dalam tempoh berkenaan,” katanya. - UTUSAN ONLINE