Pengurus Negara Visa Malaysia, Ng Kong Boon berkata, pemegang kad perlu mendail nombor telefon atau menghantar e-mel kepada penyedia perkhidmatan petugas untuk menggunakannya.

Menurutnya, aplikasi tersebut menawarkan saluran langsung kepada pengguna untuk mendapatkan perkhidmatan seperti tempahan hotel, penerbangan dan restoran, pembelian tiket dalam talian atau lain-lain pertanyaan.

“Fungsi sembang juga dise­diakan bagi membolehkan pengguna berhubung dengan wakil khidmat pelanggan secara langsung untuk sebarang perta­nyaan tertentu.

“Berdasarkan data daripada model sebelum ini, sebanyak 40 peratus permintaan adalah berkaitan perjalanan manakala 21 peratus berkaitan tempat makan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Kong Boon, pihak­nya memiliki antara kadar penggunaan telefon pintar tertinggi di dunia dan yakin pengguna kad juga semakin ke arah digitalisasi.

Katanya, dengan pengenalan aplikasi tersebut, rakyat Malaysia akan terbiasa untuk membuat pesanan dan pem­belian produk atau servis di mana-mana sahaja.

“Kami sentiasa berpendapat adalah penting untuk menyediakan pemegang kad dengan perkhidmatan yang cekap.

“Kami percaya aplikasi petugas mudah alih akan menjadi pilihan rakyat negara ini dalam membuat pelbagai permintaan,” ujarnya.

Aplikasi petugas mudah alih Visa boleh dimuat turun melalui iOS App Store dan Google Android Store.