Pengerusi Eksekutif Rahim & Co., Tan Sri Abdul Rahim Abdul Rahman berkata, kepantasan pemulihan itu dipengaruhi oleh perang dagangan yang berpanjangan antara Amerika Syarikat dan China serta tempoh yang diperlukan kerajaan baharu untuk melaksanakan pelbagai agenda pembangunan untuk rakyat.

Menurut beliau, pasaran hartanah masih belum menunjukkan pergerakan positif secara keseluruhan, namun penurunan yang berlaku semakin berku­rangan berbanding tahun lepas.

“Terdapat penurunan seba­nyak 2.4 peratus dan 0.1 peratus masing-masing untuk bilangan dan nilai transaksi. Seba­nyak 149,889 transaksi bernilai RM67.74 bilion dicatatkan pada separuh pertama 2018 dan keadaan tersebut adalah lebih baik berbanding tempoh tiga tahun sebelumnya dengan penurunan 12 hingga 16 peratus.

“Ini menunjukkan petanda baik bagi 2019 dan dijangka menyumbang kepada pergerakan positif walaupun tidak begitu ketara,” katanya dalam pembentangan Tinjauan Prospek Pasaran Hartanah Malaysia 2019 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah dan Penyelidik Rahim & Co., Sulaiman Akhmady Mohd. Saheh;

Sementara itu, Sulaiman Akhmady berkata, setakat suku ketiga 2018 sebanyak 43,219 buah rumah yang telah siap dibina di seluruh negara bernilai RM29.47 bilion masih belum terjual termasuk apartmen servis dan Soho (Small Office Home Office).

Katanya, Johor mencatatkan jumlah tertinggi dengan 13,767 buah rumah diikuti Selangor dan Kuala Lumpur, masing-masing sebanyak 7,233 buah dan 5,114 buah.

Lambakan itu, jelas beliau, menyebabkan harga rumah sedikit susut dan dijangka berterusan sehingga 2021.

“Buat masa ini, sentimen pembeli belum menunjukkan peningkatan pembelian tetapi selepas beberapa ketika akan kembali meningkat sejajar dengan harga rumah yang sedikit rendah. Trend penurunan harga rumah bermula sejak 2016 pada kadar satu hingga lima peratus bergantung kepada faktor lokasi serta nilai hartanah di kawasan berkenaan.

“Harga rumah terus merosot disebabkan kurangnya pembelian, ketidakmampuan kewangan pembeli, kesukaran mendapatkan pinjaman dan kelemahan faktor nilai tambah hartanah tersebut,” jelasnya.