Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata RM2 bilion itu adalah sebahagian daripada jaminan berjumlah RM6.5 bilion diperuntukkan dalam Bajet 2019 khusus untuk meningkatkan akses kepada pembiayaan untuk PKS tempatan bagi Industri 4.0.

Beliau berkata tanpa PKS yang berpengetahuan tentang teknologi Industri 4.0, Malaysia tidak akan dapat berkembang maju dan tidak akan menjadi destinasi pelaburan utama bagi pembuatan berteknologi tinggi dan perkhidmatan tambah nilai tinggi.

"Skim jaminan RM2 bilion disediakan oleh SJPP dengan mengambil kira PKS menyumbang 37 peratus kepada keluaran dalam negara kasar Malaysia tahun lepas. Sumbangan itu dijangka meningkat kepada 41 peratus pada 2020," kata Lim dalam ucapannya pada pelancaran skim itu hari ini.

Di bawah skim jaminan RM2 bilion itu, sehingga 70 peratus pinjaman dibuat oleh PKS akan dijamin oleh SJPP.

Sejak ditubuhkan pada 2009, SJPP telah menawarkan jaminan berjumlah RM35 bilion dengan RM18 bilion daripadanya telah digunakan dan memanfaatkan 14,000 PKS di seluruh negara.

- BERNAMA