Mudir pondok tersebut, Muhammad Hassan berkata, pendekatan yang dilaksanakan oleh pengurusan pondok turut membantu meringankan beban kerajaan dalam menangani masalah sosial yang berpunca dari kejahilan ilmu agama.

Beliau berkata, pondok itu juga menjadi tempat berteduh kepada anak-anak yatim yang tiada tempat bergantung sebagaimana tuntutan agama Islam untuk mem­bela kebajikan mereka.

“Syukur, sekarang terdapat se­­ramai 40 orang pelajar miskin dan anak-anak yatim bernaung di bawah bumbung pondok untuk menimba ilmu.

“Tempat tinggal sementara secara percuma di rumah No. 47, Kampung Bukit Kechik, dekat sini, sewajarnya mendapat perhatian semua pihak untuk menyalurkan sumbangan dalam menjayakan usaha murni berasaskan tuntutan Islam,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Muhammad berkata, pelajar-pelajar tahfiz di pondok ini tidak dikenakan sebarang yuran bulanan atau tahunan.

Katanya, anak-anak yang bernaung di pondok itu turut dididik untuk berdamping serta memberi sumbangan kepada masyarakat.

“Kita menggalakkan pelajar-pelajar tahfiz membacakan tahlil setiap kali menyertai program gotong-royong membersihkan tanah perkuburan Islam yang berdekatan.

“Ia bukan hanya mendapat ganjaran pahala daripada aktiviti kesukarelaan tetapi pada masa yang sama ilmu yang dipelajari dapat dimanfaatkan kepada orang ramai,” katanya.

Orang ramai yang ingin memberikan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 03014-41-00012373-6.