Beliau berkata selain merosakkan habitat hidupan sungai, ia juga menjejaskan sumber air secara berpanjangan.

"Kegiatan ini sangat bahaya dan perlu dihentikan dengan serta-merta, banyak kaedah lain yang lebih praktikal untuk mendapatkan ikan.

"Landskap sungai yang kerap direnjat menjejaskan kualiti air (sehingga) menjadi kotor, sekali gus memberi kesan buruk kepada masyarakat secara keseluruhan," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kegiatan merenjat ikan menggunakan kuasa elektrik atau dikenali sebagai 'mengaran' yang berleluasa di daerah ini sejak lebih 20 tahun lepas, yang telah menjejas teruk hidupan akuatik di beberapa batang sungai di sekitar daerah ini.

Harun berkata segelintir penduduk yang tidak berfikir panjang menggunakan kaedah pintas itu sebagai jalan mudah untuk menangkap ikan untuk kepentingan peribadi semata-mata.

"Mereka menggunakan kuasa bateri kenderaan yang dibantu oleh pengimbang kuasa atau set janakuasa yang boleh menyebabkan kesemua hidupan sungai, besar atau kecil serta telur ikan akan musnah dalam tempoh beberapa saat.

"Penggunaan peralatan ini juga sangat berbahaya kepada pengendali (dan) boleh menyebabkan kematian jika (pengendali) terkena renjatan," katanya.

Beliau berkata walaupun kegiatan merenjat ikan di daerah itu diklafikasikan sebagai kes terpencil, namun jelasnya ia sukar dibendung kerana dilakukan secara sembunyi-sembunyi dalam kalangan masyarakat setempat.

Menurutnya kegiatan itu sudah pasti menjejaskan segelintir penduduk di daerah itu yang bergantung hidup kepada sumber sungai sebagai sumber makanan dan pendapatan mereka. - BERNAMA