Naib Canselor Unimap, Prof. Datuk Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, inisiatif itu diper­kenalkan bermula semester ini dengan membabitkan 550 pelajar iaitu mereka akan diberikan kupon makanan bernilai RM5 setiap seorang.

Beliau berkata, usaha itu bagi memastikan para pelajar mendapatkan makanan mencukupi sete­rus­nya memberi ke­selesa­an mengulang ka­li pelajaran dan men­duduki pe­pe­riksaan.

“Berdasarkan maklumat yang di­terima, ada dalam kalangan pelajar yang terdiri daripada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) dan asnaf sanggup berkorban dengan menggunakan wang pinjaman atau zakat yang diperoleh untuk dikirimkan kepada keluarga di kampung sebagai perbelanjaan seharian.

“Kebiasaannya, musim pepe­riksaan adalah pada penghujung semester dan ketika itu sebahagian besar pelajar ini sudah kekurangan wang, justeru inisia­tif yang diambil ini diharap dapat membantu para pelajar B40 dan asnaf ini untuk kekal bertenaga menghadapi peperiksaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan mengenai nasib sesetengah pelajar Universiti Malaya (UM) yang terpaksa mengikat perut dan hanya makan sekali sehari selain ada di antara mereka perlu menahan lapar aki­bat kekangan kewangan.

Pelajar-pelajar daripada ke­luarga B40 itu dilaporkan terpaksa berjimat cermat demi meneruskan pengajian masing-masing.