Rata-rata mereka dilihat teruja apabila berpeluang menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan dalam karnival kali ketiga dianjurkan dengan tema Zero Emission Vehicle: Clean Power, Opportunities and Challenges itu.

Pengarah PSAS, Dr. Naimah Md. Khalil berkata, penganjuran Kastek’19 dilihat sebagai medium terbaik dan tepat dalam menyampaikan maklumat menge­nai perkembangan dan kehebatan dunia sains dan teknologi masa kini.

Katanya, tradisi masyarakat politeknik melalui pendekatan perkongsian ilmu antara tenaga pengajar politeknik dan pihak industri kepada komuniti setempat adalah satu inisiatif yang sentiasa diberikan penekanan oleh pihak PSAS sendiri.

“Pendekatan ini juga banyak memberi impak positif kepada pihak politeknik, industri dan komuniti setempat di mana manfaat paling besar sudah tentu kepada pelajar sekolah kerana ia dapat membuka minda mereka.

“Karnival ini diharap memberi pengetahuan dan keseda_ran kepada masyarakat bukan sahaja daripada aspek pencapaian sains dan teknologi malah meningkatkan kefahaman me­reka dari segi keselamatan, teknologi hijau dan tenaga yang boleh diperbaharui,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian Kastek’19 Peringkat Kebangsaan di Dewan Muallim PSAS di sini hari ini yang disem­purnakan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri, Dr. Abdul Aziz Bari.

Melalui karnival itu, pelbagai program menarik diadakan de­ngan lapan aktiviti utama yang melibatkan pelbagai agensi termasuk pihak sekolah, institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan dan swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Antara aktiviti yang diadakan sepanjang karnival adalah dia­log kumpulan fokus, pameran automotif, karnival keusahawanan, ekspo kejuruteraan awam, pameran agensi awam dan swasta, bengkel pembangunan animasi serta demonstrasi rea­liti maya.

Sementara itu, pelajar Diploma Kejuruteraan Mekanikal Automotif, Muhammad Izzat Saad, 20, berkata, karnival itu bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar untuk menambah pengetahuan malah memberi idea baharu bagi pemba­ngunan projek.

“Bagi kami di semeter lima yang perlu membuat projek, ini memberi idea untuk kami manakala bagi pelajar sekolah, ia dapat memupuk minat mereka dalam bidang sains dan teknologi dari awal,” katanya.

Bagi Muhammad Nasran Nasharuddin, 20, sebagai pelajar politeknik, dia dan rakan-rakan sememangnya menantikan pe­nganjuran karnival seperti itu yang disifatkan memberi banyak manfaat kepada mereka.

“Kami memang selalu tunggu program seperti ini kerana banyak ilmu yang boleh dipero­leh dan pendedahan yang diberikan ini bukan sahaja untuk pelajar politeknik sendiri tetapi juga pihak luar,” katanya.