Menterinya, Khalid Abdul Samad berkata, tema sambutan pada tahun ini adalah ’Sayangi Wilayahku’ seiring dengan integrasi nasional dan penggerak utama agenda memperkasakan perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk khususnya di Wilayah Persekutuan.

“Hubungan harmoni dan kerjasama antara kaum merupakan kunci utama untuk menghadapi ancaman dan cabaran supaya segala perancangan pembangunan yang direncanakan kerajaan dicapai,” katanya pada majlis berkenaan di Lobi Menara DBKL 1, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalannya, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan.

Ujar Khalid, bagi merancakkan kempen berkenaan, sebanyak 35,000 bendera diedarkan secara percuma kepada bangunan kerajaan, swasta, taman perumahan dan ahli komuniti.

“Sebanyak 1,000 bendera turut diedar kepada orang ramai di tiga lokasi terpilih iaitu di Bangunan Majlis Amanah Rakyat (Mara), pusat beli-belah Sogo dan Berjaya Times Square,” katanya.

Khalid turut menyeru kepada semua pemilik premis serta kediaman persendirian supaya memasang bendera sebagai tanda sokongan dan semangat cintakan Wilayah Persekutuan bermula hari ini hingga 1 Mac 2019.

Tambahnya, sempena sambutan kali ke-15 tahun ini, sebanyak 21 program dirancang dan disusun sepanjang bulan Februari ini.- UTUSAN ONLINE