Itu kesimpulan bagi menggambarkan kehalusan seni ukiran kraf logam dan perak menggunakan teknik cutam yang dihasilkan berdasarkan pemerhatian, pengalaman, persekitaran dan kepercayaan si pengukir.

Pengalaman, persekitaran dan kepercayaan itu dizahirkan dalam pelbagai bentuk haiwan seperti singa, gajah, naga dan burung selain jelmaan mitos dan tumbuh-tumbuhan.

Falsafah seni dan estetika yang terdapat pada ukiran itu menarik perhatian Jabatan Muzium Negara (JMM) untuk mempamerkan pelbagai koleksi cutam kepada orang ramai bagi tujuan menambahkan pengetahuan selain menerokai sejarah silam seni pembuatannya.

Penolong Kurator Bahagian Pameran dan Pengembangan JMM, Mohd. Fairuz Mohamed Kassim berkata, pameran itu mengetengahkan sebanyak 65 koleksi peralatan hasil pertukangan seperti batil, cerek, pinggan, cembul, kaki lilin, pahar, gobek sirih, tepak sirih, ketur, pending dan kotak barang.

Katanya, kebanyakan koleksi cutam merupakan pemberian hadiah daripada Residen Jeneral Pertama bagi Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Sir Frank Athelstane Swettenha serta Lady Anderson kepada Muzium Perak.

“Koleksi peralatan cutam ini kebanyakannya memaparkan sisi pengalaman dan kepercayaan masyarakat Siam di Selatan Thailand.

“Motif-motif haiwan mitos yang diukir pada peralatan cutam merupakan kepercayaan masyarakat Thailand terhadap Traiphum (Kosmologi Tiga Dunia) iaitu Kamaphum (Dunia Keinginan), Rupaphum (Dunia Berbentuk) dan Arupaphum (Dunia Tanpa Bentuk),” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, Mohd. Fairuz berkata, peralatan cutam itu merupakan salah satu hasil pertukangan tangan yang memenuhi kedua-dua aspek iaitu fungsi dan seni hias.

“Keunikan koleksi terletak pada ragam hiasnya yang unik dan menonjol. Seni hias ukiran menggunakan teknik cutam menghasilkan warna biru gelap atau biru muda yang menarik pada permukaan barangan logam,” katanya.

Orang ramai yang berminat untuk melihat koleksi cutam boleh berbuat demikian dengan mengunjungi Pameran Cutam di Muzium Negara di sini yang bermula sejak November tahun lalu sehingga akhir Julai ini.

Pameran anjuran JMM itu dibuka setiap hari bermula dari pukul 9 pagi hingga 6 petang dan masuk adalah percuma. - UTUSAN ONLINE