Buku berjudul Fatah: Kartunis Akar Terengganu hasil tulisan Sabri Said merupakan buku berbentuk biografi yang menceritakan Abdul Fatah, seorang kartunis kurang upaya yang popular sejak era 80-an sehingga kini.

Sebuah lagi buku iaitu Nostalgia Dan Din Don karya Saadon Ishak (Don) pula adalah kompilasi menceritakan watak kartun Dan Din Don yang cukup popular dalam majalah Gila-Gila ketika era 80-an dan 90-an.

Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh ikon kartunis negara, Datuk Mohd. Nor Khalid atau lebih dikenali sebagai Datuk Lat dan serentak dengan itu menyampaikan anugerah Tokoh Kartunis RKKM kepada kartunis dari Pahang iaitu Abd. Razak Sofhi (Aza).

Anugerah itu bertujuan memberi pengiktirafan kepada kartunis yang cemerlang dalam kerjaya dan sumbangan mereka kepada dunia kartun tanah air.

Program yang turut mengumpulkan seluruh kartunis dari setiap negeri itu diadakan bersempena Bulan Kartunis Malaysia yang disambut pada April setiap tahun.

Acara yang bermula dari pukul 10.30 pagi hingga 5 petang itu turut diisi dengan pelbagai aktiviti antaranya bicara animasi, bengkel kartun bersama kartunis Aie dan Ujang serta jualan barangan kartun dan komik. - UTUSAN ONLINE