Ketua Pegawai Operasi Pe­ngangkutan Awam Putrajaya (Nadi Putra), Ahmad Mustaffar Abdul Manaf berkata, pihak-nya telah menerima arahan agar menarik balik pelaksa-naan SST di kawasan itu pada 14 Februari lalu dan perubahan terhadap semua sistem juga telah dilakukan bagi mengelak pengguna di kenakan caj terbabit.

Beliau berkata, Nadi Putra dibawah Gets Global Bhd., merupakan agensi yang mengendalikan parkir di Putrajaya dan pihaknya melaksanakan SST berdasarkan Rang Undang-undang (RUU) Cukai Jualan 2018 dan RUU Cukai Perkhidmatan 2018 yang telah diluluskan di Parlimen pada 20 Ogos tahun lalu.

“Pelaksanakan SST di kawasan itu secara umumnya berdasarkan panduan ruang letak kenderaan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM). Kita hanya mengikut arahan dan saranan itu sahaja. Saya juga akui pelaksanaannya tidak melibatkan perbincangan dengan Perbadanan Putrajaya (PPj).

“Selepas ini kita akan me­ngadakan perbincangan dengan perbadanan itu untuk langkah seterusnya. Antara yang akan dibincangkan ialah siapa akan tanggung kadar SST enam peratus itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.

Terdahulu, Presiden PPj, Datuk Dr. Aminuddin Hassim memaklumkan pihaknya telah mengarahkan syarikat pengendali kawasan parkir di Putrajaya menarik balik pelaksanaan SST sebanyak enam peratus.

Pada 14 Februari lalu, Utusan Malaysia melaporkan semua pakir kelolaan PPj akan dikenakan SST sebanyak enam peratus bermula 15 Februari selepas notis pelaksanaannya di pasang di sekitar Putrajaya termasuk di Presint 15 di sini.

Ketika ini, kadar tempat parkir di PPj ialah 50 sen sejam antara pukul 8 pagi hingga 6 petang pada Isnin hingga Jumaat. Pada Sabtu, Ahad dan kelepasan am adalah percuma.

Mengulas lanjut, Mustaffar berkata, sebelum ini Nadi Putra merupakan milik PPj dan telah menanggung segala cukai yang dikenakan namun, perkara ini berlainan sekarang apabila Nadi Putra dimiliki oleh Gets Global Bhd., iaitu syarikat swasta.