Di satu sudut lain beberapa orang lelaki sedang asyik melakukan proses pengasingan sayur-sayuran yang tidak habis dijual.

Tidak lama kemudian, sebuah lori muatan tiga tan berhenti untuk mengambil sayur-sayuran yang diasingkan terdiri daripada sawi, kangkung dan bayam untuk dimasukkan ke dalam lori.

Sebaik usai urusan mema-sukkan sayur-sayuran ke dalam lori, tanpa berlengah pemandu lelaki berusia pertengahan 40-an itu terus menekan enjin menuju ke Perumahan Awam Taman Melati terletak lebih kurang 30 kilometer dari pasar berkenaan.

Bagi penulis, mengikuti program pengagihan sayur-sayuran di bawah Kuala Lumpur Food Bank’ atas inisiatif sebuah pertubuhan bukan kerajaan dengan kerjasama peniaga di pasar itu satu pengalaman berbeza.

Mungkin bagi sesetengah orang sumbangan dalam bentuk sayur-sayuran itu tidak memberi makna, berbeza mereka yang memerlukan.

Keceriaan jelas terpancar pada wajah setiap penduduk PA Taman Melati yang sejak awal menanti ketibaan lori yang membawa pelbagai jenis sayuran itu.

Pada pukul 8.30 malam, suasana di perumahan bertingkat ken-dalian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur itu begitu meriah apabila penduduk terdiri daripada kaum wanita, terutama suri rumah beratur memilih sayur-sa-yuran untuk dibawa pulang.

Utusan Malaysia difahamkan, sejak program itu dianjurkan pada 2017 kira-kira 10,000 penduduk mendapat manfaat.

Pengerusi Pertubuhan Gerakan Perpaduan Wilayah Persekutuan, Muhammad Helmi Azhar berkata, proses pengagihan sayuran dilakukan pada setiap hari Isnin, Rabu, Khamis dan Jumaat.

Menurutnya, projek tersebut bertujuan membantu meringankan beban golongan miskin bandar, terutamanya penduduk PPR dan penghuni rumah-rumah kebajikan di ibu kota.