Ini kerana sebahagian daripada 516 peniaga di Pasar Besar Pasir Puteh masih belum memberikan kata putus untuk berpindah dan berniaga di tempat baharu yang disediakan.

Yang Dipertua MDPP, Mohd. Anis Hussein berkata, kesemua peniaga tersebut diberi tempoh seminggu bermula semalam sehingga Ahad ini supaya berpindah dan selepas itu MDPP akan memulakan tindakan memotong bekalan elektrik serta air.

Beliau berkata, dalam satu perjumpaan khas di antara MDPP dengan peniaga berkenaan baru-baru ini, seramai 207 orang masih belum menyatakan persetujuan untuk berpindah manakala selebihnya telah memaklumkan persetujuan mereka untuk berbuat demikian.

“Dalam perjumpaan itu kita sudah menjelaskan kesemuanya dan mendengar permasalahan para peniaga dalam konteks membangunkan perniagaan di bandar ini,” katanya di sini hari ini.

MDPP sudah membelanjakan hampir RM7 juta bagi membina Pasar Siti Hajar yang siap pada Mei 2015 termasuk RM2.3 juta untuk menambahbaik semula premis sebagaimana yang dimohon peniaga terbabit.

Bagaimanapun, tinjauan Utusan Malaysia mendapati Pasar Siti Hajar yang terletak dalam bandar baharu Pasir Puteh Sentral masih sunyi dengan hanya kira-kira 20 peniaga beroperasi biarpun lokasinya terletak kira-kira satu kilometer dari pasar lama.

Sementara itu, Pengerusi Peniaga Kecil dan Pembekal Pasar Besar Pasir Puteh, Kamarzaman Che Ngah mendakwa seramai 500 peniaga enggan berpindah ke Pasar Siti Hajar sehingga Mahkamah Rayuan Putrajaya membuat keputusan berhubung isu tersebut pada 26 Oktober ini.

“Kami sedang menunggu rayuan yang dibuat dan berharap pe­ngurusan MDPP memberi ruang untuk menangguhkan tempoh berpindah.

“Hampir kesemua ahli kami yang kesemuanya peniaga bumiputera seboleh-bolehnya enggan berpindah disebabkan ruang niaga masih sempit berbanding di Pasar Besar Pasir Puteh,” katanya.

Menurutnya, para peniaga menganggap lokasi baharu sebagai tempat yang tidak strategik kerana akan berhadapan persaingan dengan pasar raya besar.