Siti Hawa Salleh, 47, berkata, kesemua ikan yang diternak dalam kolam berhampiran rumahnya itu hilang bersama arus deras sewaktu banjr melan­da.

Menurutnya, kira-kira 150,000 ikan patin dan 30,000 ikan keli terlepas begitu sahaja termasuk 50,000 ekor anak ikan yang sudah mencapai tahap matang serta boleh dipasarkan.

“Ini termasuk 60,000 ikan patin yang akan dipasarkan pada Ramadan tahun ini. Semuanya terlepas apabila ditenggelami air melebihi satu meter dari paras kolam.

“Harapan untuk menjual ikan yang sebelum ini diusahakan oleh arwah suami saya, Azani Salleh, sejak setahun lalu tinggal impian sahaja dan sehingga kini, saya tidak dapat menganggarkan jumlah kerugian yang sebenar namun yang pasti kesemua modal saya dan arwah suami hilang,” katanya ketika ditemui di kolamnya, di Kampung Bukit Gedombak, dekat sini, hari ini.

Siti hawa berkata, usaha yang diteruskan di kawasan seluas hampir tiga hektar bersama anaknya, Mohamad Syahiedan Azani, 26, gagal memberi sebarang pulangan disebabkan mu­sibah di luar jangkaan itu.

“Sebelum ini, kawasan itu tidak pernah ditenggelami air dan saya terkejut apabila melihat limpahan air dari jejari Sungai Tok Ajam begitu cepat berlaku yang disusuli dengan hujan yang le­bat,” kata­nya.

Tambahnya, Mohamad Syahiedan telah menggunakan mo­dal dari simpanan peribadi untuk meneruskkan projek berkenaan sebagai sumber pendapatan tetap bagi menyara hidup keluarga.

“Banjir kali ini menyebabkan punca pendapatan saya hilang, saya tak tahu mana nak cari mo­dal untuk meneruskannya semula termasuk untuk menyara hidup lima anak yang masih dalam tanggungan,” katanya.

Tambahnya, turut ditenggelami air ialah sebuah kereta, motosikal roda tiga, mesin rumput, pam semburan racun, peti sejuk beku, mesin proses makanan ikan, pam air, penapis air dan dapur pemprosesan makanan ikan.

“Selain ikan, saya juga menternak 30 ekor itik dan 16 ekor ayam. Malangnya, kesemuanya ternakan itu gagal diselamatkan kerana banjir kali ini datang mengejut,” katanya.