Demikian reaksi Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika diminta mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mempersoalkan kenapa kerajaan tidak mengambil tindakan ke atas kes-kes jenayah berprofail tinggi.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, pihak berkuasa mempunyai prosedur standard operasi  (SOP) dalam menjalankan siasatan setiap kes jenayah yang berlaku bagi memastikan siasatan dijalankan dengan telus dan adil.

Malah katanya, siasatan dilaksanakan secepat mungkin sekiranya mendapat arahan daripada mahkamah membabitkan kes-kes tertentu seperti kematian Tan Beng Hock yang diarah disiasat semula.

"Saya sendiri memandang berat setiap kes. Kita nak tunjukkan dasar kerajaan Pakatan Harapan adalah telus, adil dan saksama.

" Jangan ada pihak kata kita nak selindung, tak ada. Waktu saya di sebelah sana pun saya bangkitkan ketelusan, " katanya kepada pemberita selepas sambutan Hari Ulang Tahun Ke-47 Rela peringkat kebangsaan di sini hari ini.

Mengulas isu bekas Pengarah Urusan Goldman Sachs, Ng Chong Hwa, Muhyiddin berkata, lelaki itu hanya akan diekstradisi ke Amerika Syarikat setelah kesnya di negara ini selesai.

Katanya, langkah ituu diambil seleoas mendapat nasihat daripada Peguam Negara berhubung kedudukan Chow Hwa yang juga dikenali sebagai Roger Ng.

"Ng pun ada kes di Malaysia di bawah undang-undang Malaysia. Kemungkinan ekstradisi agak lewat sikit, kita akan laksanakan tapi nak utamakan kes di Malaysia diselesaikan, itu nasihat Peguam Negara, kita akan laksana," katanya.

Chong Hwa yang juga dikenali sebagai Roger Ng, kini direman di bawah Akta Ekstradisi 1992 (Akta 476) berhubung siasatan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB). - UTUSAN ONLINE