Kata Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden itu, beberapa kesalahan turut dilakukan oleh PH selepas hari penamaan calon PRK itu Sabtu lalu.

Sehubungan itu beliau mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya lebih proaktif bagi memastikan PRK DUN Semenyih berjalan dengan adil dan telus.

“Di suatu ceramah PH, mereka turut menjamu kuey teow kepada hadirin yang mendengar ceramah. Kita sudah buat laporan dan suka saya maklumkan untuk membantu BN, disediakan peguam dalam kalangan UMNO yang akan memantau setiap kejadian di situ.

“Saya harap pemantauan oleh SPR dilakukan bukan setakat waktu kempen tetapi semasa hari mengundi. Ini termasuk ketika pengiraan undi sebab kita tidak mahu ada unsur-unsur yang menyalahi Akta Pilihan Raya dilakukan.

“Saya menyeru kepada SPR supaya menjalankan tugas tanpa rasa takut,” kata beliau kepada Utusan Malaysia pagi ini.

Ismail Sabri berkata, semasa PRK Cameron Highlands, pada hari pertama lagi semasa hari penamaan calon sudah berlaku pengagihan duit minyak dan sebagainya tetapi tidak diambil sebarang tindakan oleh SPR.

Demikian juga apabila calon DAP memakai lambang parti dalam kawasan 50 meter di tempat pengundian.

“Saya risau kesalahan-kesalahan ini akan terus dilakukan oleh PH di Semenyih tanpa menghiraukan SPR.

“Saya tidak tahu ada teguran atau tidak oleh SPR dan kali ini berlaku lagi di Semenyih walaupun laporan sudah dibuat,” katanya.

Tegas beliau:

“Saya yakin sebagai sebuah badan yang bebas, SPR tentu sahaja tidak akan dipengaruhi oleh mana-mana pihak. Jadi saya harap SPR dapat lakukan tugas dengan baik, jadikan PRK Semenyih ini pilihan raya contoh yang bersih dan adil kepada semua pihak.”- UTUSAN ONLINE