Pakatan Harapan (PH) mencalonkan jurutera muda yang juga merupakan Bendahari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Langat, Muhammad Aiman Zainali bagi mempertahankan kerusi tersebut yang dimenangi mereka semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Barisan Nasional (BN) pula mempertaruhkan Pengerusi Tetap UMNO Cawangan Kampung Sesapan Kelubi, Zakaria Hanafi, sebagai calon mereka manakala Parti Sosialis Malaysia (PSM) mencalonkan Ahli Jawatankuasa Pemuda Pusat parti itu, Nik Aziz Afiq Abdul.

Aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang pula bertanding atas tiket Bebas.

Senarai rasmi calon yang bertanding diumumkan Pegawai Pengurus PRK Semenyih, Datuk Mohd. Sayuthi Bakar di Pusat Penamaan Calon PRK Semenyih di Dewan Seri Cempaka, Majlis Perbandaran Kajang, Saujana Impian di sini hari ini.

Keempat-empat pencalonan tersebut diterima selepas tempoh penamaan calon ditutup pada pukul 10 pagi.

PRK DUN Semenyih diadakan selepas wakil rakyatnya, Bakhtiar Mohd. Noor, 57, me­ninggal dunia akibat serangan jantung pada 11 Januari lalu.

Seramai 54,503 pemilih la­yak untuk mengundi bagi PRK Semenyih mengikut daftar pemilih sehingga suku ketiga 2018 yang dikemaskini sehingga 11 Januari lalu.

PRK DUN Semenyih merupakan PRK keenam diadakan selepas PRU-14 yang berlangsung tahun lalu. Lima PRK terdahulu melibatkan DUN Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong serta di Parlimen Port Dickson dan Cameron Higlands.