Timbalan Menteri Pembangunan Wanita , Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata, pihaknya juga mengenal pasti pertubuhan itu turut menggunakan kanak-kanak untuk melakukan perbuatan tersebut di tempat awam.

Kata beliau, sindiket berkenaan akan terus berleluasa selagi terdapat pihak atau individu menghulurkan derma.

“Orang awam kena hati-hati dengan pertubuhan yang menggunakan agama, tak kisahlah rumah ibadat agama apa pun yang menggunakan kanak-kanak untuk mengutip derma dan menjual barang di tempat awam.

“Kalau kasihan selagi itu sindiket akan terus berjalan, jadi orang awam jangan sokong organisasi atau pertubuhan yang menggunakan kanak-kanak,” katanya dalam sidang akhbar di lobi Parlimen, hari ini.

Jelas Hannah, kerajaan tidak membenarkan kanak-kanak menjalankan sebarang aktiviti mengutip derma di tempat awam seperti yang termaktub dalam Seksyen 32(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Tolong hentikan hasrat untuk membantu dan kalau ingin menghulurkan derma sekali pun pastikan pertubuhan itu berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya. - UTUSAN ONLINE