Beliau mengusulkan Dewan Rakyat merujuk bekas Perdana Menteri itu ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.


Vui Keong ketika membacakan usul itu berkata, usul berkenaan turut mencadangkan

bekas Perdana Menteri itu digantung daripada tugasnya sebagai Ahli Parlimen selama tiga bulan.


Ini kerana, katanya, Dewan Rakyat memandang serius berhubung tindakan Najib yang telah melanggar embargo dokumen berkenaan.


“Bahawa pada hari Selasa, 9 April 2019, 5.39 petang, Yang Berhormat Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak, mengeluarkan kenyataan dan memaparkan perenggan 1.4.6 dan 1.4.7, muka surat 8, Lampiran 1 - Bab 3, Kertas Putih Ke Arah Kelestarian Felda dalam akaun media sosial Facebook beliau Najib Razak.


“Kertas Putih berkenaan adalah Kertas Perintah 6 Tahun 2019 yang masih dalam Embargo sehingga 11.30 pagi, Rabu, 10 April 2019,” katanya.


Semalam, semasa sesi penggulungan usul Kertas Putih itu, Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) menggunakan Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat sambil mencadangkan tindakan ke atas Najib yang melanggar peraturan.

Beliau bangkit membacakan peraturan itu selepas pendedahan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkaitan salah laku Najib semasa menggulung perbahasan pembentangan Kertas Putih Felda.


Laporan Kertas Putih Felda hanya dibentangkan di Dewan Rakyat semalam, dengan status embargo tidak boleh disiarkan sebelum pukul 11.30 pagi hari sama.

Menurut Peraturan Mesyuarat 95A, mana-mana pihak yang mendedahkan keseluruhan atau sebahagian dokumen mesyuarat Dewan Rakyat berstatus embargo, adalah melakukan perbuatan menghina Dewan Rakyat.


Seksyen 9 Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 pula memperuntukkan mana-mana pihak yang didapati bersalah menghina Dewan Rakyat, boleh didenda tidak lebih RM1,000. - UTUSAN ONLINE