Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu, Jabatan Peguam Negara mempunyai ramai peguam yang boleh dianggap sebagai antara yang terbaik dalam negara dan pakar dalam pelbagai bidang.

Ismail Sabri malah melihat tindakan Tommy melantik peguam bebas itu seolah-olah memperkecilkan keupayaan peguam-peguam dalam Jabatan Peguam Negara.

“Dari segi Perlembagaan Persekutuan memang Peguam Negara mempunyai hak dan kuasa tetapi persoalan yang dibangkitkan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan adalah mengapa melantik pegawai dari luar?

“Kes jenayah bukanlah sampai tiada orang yang layak di Jabatan Peguam Negara tetapi akhirnya melantik peguam dari luar. Saya difahamkan kes berkaitan petisyen pilihan raya pun guna peguam luar. Itu kita tak persoalkan dari segi bayaran dan sebagainya lagi. Soalan saya kenapa tak percaya pegawai sendiri,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, di sini hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong dalam sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri mempertahankan tindakan Tommy me­lantik bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai ketua pasukan pendakwaan dalam kes 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Vui Keong menjawab soalan tambahan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang ingin mengetahui sama ada Jabatan Peguam Negara tidak mempu­nyai timbalan pendakwa raya yang berkelayakan untuk mendakwa Najib dan pemimpin lain.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan turut mempersoalkan keputusan Tommy mewakili Orang Asli bagi me­nyaman Kerajaan Negeri Kelantan.

Jelas Takiyuddin, kuasa dan fungsi Peguam Negara hanya untuk menasihat dan mewakili kerajaan, tidak boleh mewakili orang awam untuk menyaman kerajaan negeri.

“Tindakan itu seolah-olah menunjukkan Peguam Negara telah memulakan saman ber­kenaan bagi mewakili pihak tertentu. Ini adalah satu perkara yang tidak tepat dan tidak betul.

“Peguam Negara adalah sebuah institusi. Beliau tak boleh (mewakili orang awam), kena asingkan diri,” ujar beliau.