Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, tindakan ahli Parlimen pembangkang itu cukup menyedihkan kerana pembentangan RUU itu merupakan peluang keemasan kepada masyarakat di dua negeri itu.

“Saya rasa ini keputusan tidak adil dan merugikan rakyat dalam perkara ini. Saya amat sedih kerana ini peluang keemasan untuk kita mengembalikan status Sabah dan Sarawak.

“Malangnya, mereka ambil keputusan tak undi semata-mata untuk memuaskan agenda politik masing-masing,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Sementara itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, mereka tidak akan putus asa untuk terus menuntut hak rakyat di negeri tersebut walaupun terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran.

“Sudah semestinya kecewa tapi kita akan meneruskan seperti yang diinginkan dan sudah pasti akan ada liku-liku yang perlu kita hadapi untuk menuntut hak rakyat Sabah selepas ini,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi PH Sarawak, Chong Chieng Jen berkata, tindakan 19 Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak mengundi RUU itu disifatkan sebagai terlalu ego.

“Mereka ego untuk menerima apa-apa daripada pihak lain, meletakkan kepentingan politik lebih utama berbanding kepentingan orang Sarawak,” katanya. - UTUSAN ONLINE