Bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, lebih menyedihkan apabila tiada koordinasi dalam kalangan menteri sehingga menyebabkan masyarakat keliru.

“Pelabur asing nak masuk ke negara kita pun fikir dua, tiga kali kerana koordinasi dalam pendirian dasar tidak jelas.

“Itu (situasi) mesti dibetulkan dan ini ada kaitan dengan apa yang diluahkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Kelmarin, Pengerusi Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin dalam satu temubual dengan akhbar bahasa Inggeris, The Star berkata, kemahiran komunikasi menteri-menteri PH merupakan alasan utama masyarakat tidak gembira dengan kerajaan baharu itu.

Dalam perkembangan sama, Hishamuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong berkata, Kementerian Pertahanan misalnya hanya mengulangi pengumuman polisi yang telah dilaksanakan sebelum ini malah tiada sebarang pembaharuan untuk anggota tentera.

“Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA ‘19) misalnya perjanjian apa yang telah ditandatangani? Apa masa depan industri? Saya tengok tiada apa-apa yang baharu.

“Selepas 11 bulan, sudah tiba masanya untuk mereka memahami dengan jelas polisi negara seterusnya bergerak ke depan,” katanya. - UTUSAN ONLINE