Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menegaskan bahawa perkara itu kerana parti tersebut mengamalkan sistem demokrasi.

“Sesiapa yang mungkin berhasrat untuk bertanding apa jawatan, kita amalkan demokrasi. Itu terserah kepada mereka.

“Saya setakat ini tidak tahu, mungkin ada yang nak cabar, tak apa la,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai khabar angin daripada sumber dalam Bersatu terdapat pihak yang ingin mencabar kedudukannya sebagai Presiden parti.

Semalam, Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pemilihan parti itu akan diadakan tahun ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin bagaimanapun menjelaskan, calon-calon berkenaan hanya boleh bertanding selepas pindaan perlembagaan Bersatu siap dan dibentangkan bulan depan.

Kata beliau, pindaan itu termasuk menetapkan beberapa peraturan untuk Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) dan Srikandi Bersatu.

“Ada proses dan peraturan yang mesti dipatuhi calon-calon termasuk tempoh mereka menjadi ahli serta proses pemilihan dijalankan,” katanya. - UTUSAN ONLINE