Semasa sesi menjawab Perbahasan Titah Diraja Kementerian Industri Utama, pembangkang melahirkan kerisauan tentang potensi pasaran tanaman tersebut lebih-lebih lagi industri telah dikuasai kuasa besar seperti China dan India.

Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) berkata, jika penanaman berskala besar dilakukan tanpa pasaran ia bakal merugikan pengusaha.

"Ini bukan isu main-main. Jika China dan India sudah merangkumi 35 peratus populasi (pasaran), di mana pasaran kita jika buluh ditanam secara meluas?

"Kita kena fikir betul-betul. Jika beri panduan sebegitu, akhirnya kita akan terjerat kerana tidak ada pasaran yang begitu besar. Minta kementerian meneliti perkara ini," katanya ketika mencelah.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) turut berpandangan sama kerana kebanyakan pekebun kecil tidak mempunyai skala ekonomi yang besar untuk mengusahakan penanaman buluh.

Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin bagaimanapun menjelaskan, industri buluh turut mempunyai potensi tersendiri dan tidak lagi digunakan bagi menghasilkan produk tradisional sahaja.

Jelasnya, buluh malah telah digunakan secara meluas seperti penghasilan perabot serta pelbagai lagi dengan nilai pasaran global mencecah berbilion dolar Amerika Syarikat (AS).

Beliau bagaimanapun menjelaskan, tanaman buluh hanya sebagai alternatif dan bukan untuk menggantikan sawit dan getah.

Semasa sesi menjawab perbahasan itu juga, Shamsul Iskandar dilihat mempertahankan lawatan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ke Pakistan minggu lalu memandangkan sesetengah pihak menganggap langkah itu boleh mengeruhkan hubungan Malaysia dan India.

Timbalan Menteri itu berkata, lawatan sebegitu merupakan antara usaha yang boleh dilakukan untuk membantu sawit dari Malaysia menembusi pasaran baharu.

Pembangkang menganggap lawatan ke Pakistan berisiko menjejaskan jualan sawit negara ke India.-UTUSAN ONLINE