Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hanipa Maidin berkata, mana-mana pihak sama ada pendakwa raya atau peguam bela boleh mengemukakan permohonan kepada hakim untuk membuat keputusan.

Walau bagaimanapun beliau menegaskan, perkara tersebut bukan di bawah bidang kuasa kerajaan dan sama sekali tidak akan mencampuri urusan perundangan negara.

“Tak ada (di Malaysia), yang ada di Amerika Syarikat. Tiada yang mustahil, boleh berlaku tapi saya harap mereka buat permohonan dan biarkan mahkamah yang membuat keputusan.

“Permohonan daripada salah satu, antara pendakwa raya atau peguam bela. Kalau pendakwa raya tak membantah, lagi mudah. Kalau bantah, mahkamah kena dengar untuk buat keputusan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Jelas Hanipa yang juga Ahli Parlimen Sepang, permohonan itu perlu turut mengemukakan justifikasi ia perlu disiarkan di televisyen .

“Mungkin mahkamah akan mengarahkan permohonan dengan afidavit bagi menyokong hujah,” katanya.

Sehingga pukul 9 malam semalam, satu petisyen yang dilancarkan sejak sembilan bulan lalu mendesak perbicaraan Najib disiarkan secara langsung telah meraih 34,901 tanda tangan.

Sementara itu, Peguam utama Ahli Parlimen Pekan, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah tidak membantah cadangan supaya kes itu disiarkan secara langsung malah menyifatkan perkara itu suatu idea yang bagus.

Najib yang akan dibicarakan berhubung kes berkaitan SRC International Sdn. Bhd. (SRC International) pada lusa sokong cadangan itu kerana rakyat mempunyai hak untuk tahu kebenaran berhubung kesnya itu.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula memberitahu tiada sebarang masalah jika perbicaraan bekas Presiden UMNO yang berdepan tujuh tuduhan disiarkan secara langsung, Rabu depan. - UTUSAN ONLINE