Pembangkang mempersoalkan siapakah sebenarnya yang berkuasa terhadap aset-aset Tabung Haji yang dipindahkan kepada sebuah syarikat tujuan khas (SPV), kerana dikatakan seseorang bukan beragama Islam masih berkuasa mempengaruhi SPV tersebut.

Mujahid sebelum itu menjelaskan pihaknya selama ini secara gigih mahu dan berjaya menutup 'lubang-lubang' ditinggalkan oleh pentadbiran Tabung Haji yang lama.

Beliau malah menyebutkan beberapa nama mereka yang beragama Islam menjadi ahli lembaga pengarah SPV berkenaan termasuk Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Ahmad Badri Mohd. Zahir.

Mujahid cuba menyakinkan bahawa lembaga pengarah itu mempunyai kuasa eksekutif dalam menguruskan aset-aset tersebut.

Akibat diasak teruk, Mujahid nampak tertekan dan menegur pembangkang supaya tidak mempolitikkan isu Tabung Haji.

"Tadi dia (pembangkang) kata supaya pendeposit Tabung Haji jangan lari. Tetapi fitnah-fitnah macam ini yang membuatkan pendeposit lari.

"Sebenarnya siapa yang mahu menjaga Tabung Haji. Jangan main politik, jangan hendak cuba alihkan pandangan.

"Ini pandangan rasis, pandangan yang menimbulkan fitnah, pandangan yang penipuan untuk (memandangkan) kita hendak selamatkan Tabung Haji," katanya sambil menunju ke arah blok pembangkang.

Beliau sebelum itu menjelaskan Tabung Haji yang dipantaunya berusaha mengimbangkan antara aset dan tanggungan demi memastikan hibah kepada pendeposit serta kepentingan jemaah haji dapat dijaga dalam jangka masa panjang.

Menteri itu turut menjelaskan, kedudukan kewangan Tabung Haji pada penghujung tahun 2018 yang belum diaudit dijangkakan memiliki aset berjumlah RM76.5 bilion berbanding jumlah deposit dan tanggungan sebanyak RM75.5 bilion.

Beliau pada masa sama berkata, pengumuman hibah tahunan bagi tahun 2018 akan dibuat setelah semakan terhadap kedudukan kewangan Tabung Haji bagi tahun 2018 dimuktamadkan. - UTUSAN ONLINE