LIOW TIONG LAI

Bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai menegaskan, proses rundingan untuk memilih syarikat itu juga dijalankan secara telus walaupun pemilihannya tidak melalui tender terbuka.

“Kita tidak sembunyi atau mempunyai muslihat apa-apa kerana semuanya melalui proses yang tertera dalam garis panduan yang dilaksanakan oleh kerajaan.

“Pada mulanya ada lima syarikat yang menghantar permohonan dan dua syarikat telah disenarai pendek. Akhirnya yang memenuhi semua kriteria telah dipilih dan kita kemukakan kepada Kementerian Kewangan,” katanya kepada pemberita di luar Bilik Jawatankuasa 1 Parlimen hari ini.

Terdahulu, beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Bentong memberi keterangan selama satu jam lebih kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) hari ini.

Tambah Tiong Lai, walaupun ramai yang mendakwa projek itu gagal, namun hakikatnya negara telah berjaya mengutip RM250 juta dari Singapura.

“Kita juga boleh saman kenderaan Singapura yang masuk ke negara ini selain mengenal pasti kereta klon dengan lebih berkesan dengan VEP,” katanya.

Menerusi laporan Ketua Audit Negara 2017 yang dibentangkan di Parlimen 3 Disember lalu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah diyakinkan oleh Tiong Lai bahawa kontraktor yang dilantik itu berkemampuan dan mempunyai kepakaran untuk projek tersebut. - UTUSAN ONLINE