MUHYIDDIN YASSIN

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, semakan itu turut meliputi kes pengambilan anak angkat dan pemegang kad pengenalan merah.

Jelasnya, tujuan utama semakan itu adalah mempercepatkan proses permohonan supaya pihak berkepentingan tidak perlu menunggu terlalu lama.

“Saya telah mengarahkan supaya SOP itu diteliti tetapi laporannya masih belum diberikan dan selepas itu kita boleh duduk berbincang.

“Terdapat beberapa kawasan kelabu yang perlu dikenal pasti, jadi jika semua ini selesai kita harap proses permohonan dapat dipercepatkan dalam tempoh seminggu hingga dua minggu,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Jelas Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Pakatan Harapan (PH), semakan itu perlu dilakukan sejajar dengan manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) iaitu pemegang kad pengenalan merah dan berstatus pemastautin tetap yang berusia 60 tahun ke atas akan diberi taraf warganegara.

Katanya, lebih-lebih lagi terdapat beberapa Ahli Parlimen termasuk rakan-rakan dalam Kabinet turut menyuarakan perkara tersebut kepada beliau dan kementeriannya.

Tambah beliau, semakan itu walau bagaimanapun harus tertakluk terhadap peruntukan Perlembagaan Persekutuan kerana terdapat undang-undang yang perlu dipatuhi.

“Saya harap apabila SOP ini selesai, kita dapat mengurangkan kerenah birokrasi. Sengaja mahu melambatkan, bukan tujuan kita. Jika anda berhak mendapat warganegara, anda perlu mendapatkannya,” katanya. - UTUSAN ONLINE